Tiada Kompromi Soal Keselamatan - Zahid

Diterbitkan: Sabtu, 30 Julai 2016 8:50 PM

(Ubah saiz teks)

TEMERLOH: Kerajaan tidak pernah berkompromi soal keselamatan negara dan sentiasa mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah kebolosan sempadan khususnya yang melibatkan unsur dalaman. 

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ada antara tindakan yang dilakukan itu mengejutkan negara, namun perkara itu perlu dilakukan bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi secara holistik.

"Apa dilakukan kerajaan melalui pengumuman KSN (Ketua Setiausaha Negara TanSri Dr Ali Hamsa) adalah sesuatu yang mengejutkan negara tetapi terpaksa dilakukan... bukan disebabkan kesalahan individu yang mengetuai (agensi berkenaan). 

"Tanggungjawab yang diberikan kepada kita dilakukan bukan atas jawatan atauindividu, namun hendaklah memandang soal keselamatan dan jenayah rentas sempadan bagi menjamin kesejahteraan dan keamanan rakyat," katanya. 

Ahmad Zahid berkata demikian semasa berucap pada jamuan Hari Raya Aidilfitrianjuran Umno Bahagian Temerloh di Dataran Lanchang di sini hari ini, yang turutdihadiri Ketua Umno Bahagian Temerloh Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin.

Pada Jumaat, Ali mengumumkan penempatan semula beberapa kedudukan di jabatan kerajaan antaranya pelantikan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mustafar Ali sebagai Ketua Pengarah Imigresen berkuat kuasa Isnin ini. 

Pelantikan itu bagi menggantikan Datuk Seri Sakib Kusmi yang ditempatkan di Jabatan Perkhidmatan Awam.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata rakyat Malaysia bertuah kerana dapat meraikan perayaan dalam keadaan yang tenang dan selesa kerana mempunyai sebuah kerajaan yang meletakkan aspek keselamatan sebagai tonggak utama negara.

"Kita merayakan Aidilfitri sehingga adakalanya terlajak Syawal... lebih daripada yang ada dalam kalendar Islam. Tapi kita lihat apa yang berlaku di negara Islam lain, ada yang tidak dapat beraya semeriah kita kerana khuatir dengan keselamatan.

"Saya juga sentiasa ingatkan diri sendiri supaya jangan ambil mudah aspek keselamatan kerana harganya terlalu mahal untuk dibayar," katanya.

Ahmad Zahid berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga amatprihatin dalam aspek keselamatan sehingga isu berkaitannya dibincangkan secara mendalam di peringkat Majlis Tertinggi (MT) Umno dan Kabinet. 

Apatah lagi, Najib sendiri pernah memegang portfolio sebagai Menteri Pertahanan menyebabkan beliau sentiasa merasakan bahawa aspek berkenaan perlu diutamakan supaya rakyat selesa, katanya.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata kerajaan melakukan tindakan sepatutnya bagi melindungi pintu masuk negara dan perairan negara seperti melaksanakan Strategi Lautan Biru Kebangsaan melibatkan Pasukan Polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). 

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden Umno, menggesa barisan parti supaya berusaha memastikan kerusi Parlimen Temerloh kembali ketangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum akan datang.

"Kita hendaklah bekerja keras dan kemudian baharulah kita bertawakal. Jika kita boleh merampas kembali Temerloh, lebih banyak pembangunan dapat dilakukan termasuk di kawasan sekitarnya kerana kita mempunyai peruntukan yang boleh disalurkan kepada rakyat," katanya. 

Pada majlis itu, Ahmad Zahid juga bertemu dan menyampaikan sumbangan kelengkapan haji kepada 141 jemaah haji sekitar Temerloh. -Bernama

Tags / Kata Kunci: Kompromi keselamatan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan