Zaid Bayangkan Muhyiddin Bakal Pimpin Parti Baharu

Diterbitkan: Khamis, 28 Julai 2016 4:28 PM

Tan Sri Muhyiddin Yassin

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Datuk Zaid Ibrahim membayangkan bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan kembali ke arena politik sebagai presiden parti baharu Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Saya gembira apabila mendapat tahu daripada sumber dalaman bahawa beliau telah memutuskan untuk meneruskan perjuangannya dalam politik dengan menjadi presiden parti baharu.

"Saya faham ia akan menjadi sebuah parti Melayu atau parti Bumiputra yang semuanya hampir sama dengan Umno. Ini merupakan satu perkembangan yang baik kerana ia akan meluaskan pakatan pembangkang," kata bekas menteri ini dalam catatan di blognya, Khamis.

Muhyinddin sebelum ini dijangka akan menerajui parti baharu Dr Mahathir, manakala bekas Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkhidmat sebagai timbalannya.

Shafie, bagaimanapun, menyatakan bahawa beliau menolak tawaran Muhyiddin untuk menjadi timbalan presiden dalam parti baharu Dr Mahathir.

Zaid seterusnya berkata bahawa sebuah parti politik boleh berasaskan kepada satu kumpulan etnik sahaja selagi ia tidak bersifat perkauman, berfikiran sempit dan melampau dalam tindakannya.

"Apa yang kita perlukan adalah sebuah parti berasaskan Melayu yang inklusif dan progresif dan mempunyai semua ciri sebuah parti untuk masa depan.

"Ia mesti positif dalam unjurannya dan menjauhi kebencian dan ketaksuban. Ia mesti menjadi parti yang mengambil berat tentang rakyat dan yang bekerja untuk menyatupadukan rakyat bukan memecah belahkan rakyat," katanya.

Bagaimanapun, Zaid berkata kebimbangan utama beliau mengenai parti itu adalah kesediaan parti pembangkang lain dan pemimpin masing-masing untuk menerima Muhyiddin sebagai pemimpin dan bakal perdana menteri.

"Apa yang kita perlukan sekarang adalah pemimpin dan perdana menteri masa depan yang boleh mengambil alih pentadbiran negara ini," katanya.

Beliau berkata pada masa ini parti-parti pembangkang tidak mempunyai seorang pemimpin yang dapat menyatukan mereka.

"Sebenarnya mereka semua fikir mereka cukup kuat untuk menyatukan pembangkang dan mengekang kurangnya kepercayaan bersama yang telah mencemari kerjasama mereka, tetapi sebenarnya tidak," katanya, sambil menambah semua parti pembangkang perlu menyokong cadangan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng untuk mengadakan pilihan raya negeri mengejut.

Mengenai tugas Muhyiddin sebagai pemimpin, Zaid berkata bekas timbalan presiden Umno itu perlu berbincang dengan semua pihak termasuk Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum memberi pandangan beliau sendiri.

"Jika Muhyiddin kata pihak pembangkang harus melibatkan PAS, maka semua orang harus mengikutnya. Begitu juga, jika beliau kata PAS tidak boleh dipercayai dan bersekongkol dengan Umno, maka kita mesti menerima kedudukan itu dan mempersiapkan diri untuk pertandingan tiga penjuru," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan