Tahap Kesedaran Rasuah Meningkat Di Kalangan Muda - Kajian SPRM

Diterbitkan: Rabu, 27 Julai 2016 8:08 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tahap kesedaran tentang impak negatif  rasuah dalam kalangan golongan muda di negara ini menunjukkan peningkatan, menurut kajian dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Seri Mustafar Ali berkata, melalui kajian yang dijalankan tahun lepas terhadap pelajar institusi pengajian tinggi tempatan, hanya 11 peratus menyatakan sanggup menerima rasuah sekiranya ada kuasa dan peluang.

"Berbanding kajian yang dilakukan pada tahun 2002 sebanyak 35 peratus pelajar didapati sanggup menerima rasuah jika berpeluang. 

"Kajian ini dilakukan berterusan bagi membolehkan SPRM mengambil langkah mencegah rasuah dengan lebih berkesan dari peringkat awal," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai penambahbaikan yang dilakukan SPRM dalam usaha memberi kesedaran rasuah berbanding dahulu dan kini.

Sebelum itu, Mustafar menjadi panel program Bual Bicara Integriti bertajuk: "Menyelusuri sejarah permulaan penubuhan Institut Integriti Malaysia dan Pelan Integriti Nasional: Wadah dan Gagasan Membudayakan Integriti Masyarakat Malaysia" di sini, Rabu.

Terdahulu, bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi melancarkan buku 242 halaman berjudul 'A National Integrity System'.

Buku berkenaan boleh didapati di Institut Integriti Malaysia dengan harga RM50 senaskhah.-- Bernama

Tags / Kata Kunci: rasuah , SPRM , Mustafar Ali

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan