PRN Tergempar P.P: Pemuda Umno Tumpu 15 Kerusi DUN

Diterbitkan: Isnin, 25 Julai 2016 6:54 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pemuda Umno bersiap sedia menumpukan 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang sekiranya berlaku pilihan raya negeri (PRN) pada bila-bila masa.

Ketua pergerakan itu, Khairy Jamaluddin berkata, persediaan yang dibuat adalah menumpukan 10 kawasan Umno sedia ada serta tambahan lima lagi yang akan dipertandingkan parti itu.

"Semuanya 15 (kerusi) merupakan kawasan Melayu yang menjadi sasaran kita. Selebihnya daripada parti-parti komponen.

"Jentera kita telah diminta bergerak di 15 kawasan tumpuan ini," katanya pada sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa Pemuda Umno di Menara Dato Onn di sini, Isnin.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pilihan raya tergempar yang mungkin akan diadakan di Pulau Pinang tidak lama lagi.

Sehubungan itu kata Khairy, Pemuda Umno sudah boleh mengadakan mesyuarat persiapan jentera bagi menghadapi pilihan raya negeri itu.

Pada pilihan raya umum 2013, gabungan terdahulu atas nama Pakatan Rakyat berjaya mengekalkan kemenangan di Pulau Pinang dengan majoriti dua pertiga.

DAP memperoleh 19 kerusi, PKR dan PAS masing-masing 10 dan satu kerusi.

Pembangkang negeri iaitu Umno dengan memenangi 10 kerusi.

Pilihan raya mengejut dilihat sebagai langkah untuk mengesahkan kedudukan Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang berhadapan tuduhan rasuah.

Khairy berkata, Pemuda Umno dalam mesyuarat jawatankuasa pada Isnin ada mengadakan perbincangan mengenai pergolakan yang berlaku di Pulau Pinang.

"Kita buat keputusan bahawa Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang akan dibubarkan disebabkan masalah peribadi yang dihadapi oleh Ketua Menteri Pulau Pinang.

"Saya telah mengarahkan Pemuda Umno dan Pemuda Barisan Nasional Pulau Pinang untuk bersiap sedia menghadapi pilihan raya negeri pada bila-bila masa. Kita bersedia," katanya.

Tags / Kata Kunci: Pemuda Umno

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan