Sampai Bila Eaglexpress Hanya Bayar Tunggakan? - Nufam

Diterbitkan: Isnin, 25 Julai 2016 12:45 PM

Ismail Nasaruddin.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (Nufam) mempersoalkan tindakan Eaglexpress Air Charter Sdn Bhd (Eaglexpress) yang hanya membayar tunggakan gaji kepada kira-kira 300 pekerjanya.

Presiden Nufam, Ismail Nasaruddin berkata, masalah gaji dan elaun pekerja tidak akan selesai sekiranya syarikat penerbangan carter itu hanya melunaskan tunggakan dari semasa ke semasa.

Dakwanya, tunggakan itu belum lagi termasuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang masih belum dibuat sejak ‘berbulan-bulan’ lalu.

“Kalau hanya bayar tunggakan, bila nak selesai? Makin lama, tunggakan yang tidak dibayar ini akan terus bertambah kerana pekerja masih berkhidmat dengan syarikat.

“Yang paling utama ialah caruman Perkeso dan kegagalan majikan untuk mencarum hanya meletakkan mereka terutama anak kapal dalam keadaan bahaya sekiranya berlaku sebarang perkara yang tidak diingini semasa bertugas,” katanya kepada mStar Online.

Ismail berkata, pihak pengurusan Eaglexpress perlu lebih serius dalam melunaskan setiap tunggakan tanpa hanya memberi jaminan semata-mata.

“Majikan tidak boleh sekadar cakap sahaja kerana pekerja memang sentiasa tertanya-tanya, ternanti-nanti bila ia menyentuh soal bayaran yang menjadi hak mereka.

“Sedangkan memo mengenai tunggakan gaji sebelum ini pun gagal dibuat mengikut tarikh yang dijanjikan, inikan pula cakap-cakap saja. Kita perlukan ‘hitam putih’ sebagai jaminan mengenai bayaran yang akan dibuat majikan,” tegasnya.

Beliau merujuk kepada memo yang dikeluarkan pihak pengurusan Eaglexpress pada 23 Jun lalu mengenai dua bulan gaji tertunggak iaitu April dan Mei akan dibayar pada 27 Jun, tetapi gagal dibuat disebabkan masalah teknikal.

Bayaran hanya dibuat beberapa hari kemudian tetapi hanya kru kabin dibayar tunggakan gaji dua bulan, manakala pekerja lain menerima sebulan setengah gaji. 

Sehubungan itu, Ismail menggesa Eaglexpress segera menyelesaikan masalah berkenaan demi kebajikan dan keselamatan kakitangannya.

Pada Jumaat lalu, mStar Online melaporkan syarikat penerbangan carter untuk perkhidmatan umrah dan haji itu memberi jaminan untuk melunaskan tunggakan gaji berikutnya, meliputi baki separuh gaji bagi Mei dan sebulan gaji Jun.

Sementara itu, seorang pekerja yang enggan dikenali berkata, syarikat itu tidak memaklumkan mengenai bayaran tunggakan gaji ‘seterusnya’ akan dibuat awal Ogos.

“Kami tak dapat sebarang memo, tidak juga diarahkan datang ke mana-mana perjumpaan mengenai pemberitahuan isu gaji yang masih belum selesai,” katanya.

Seorang kru kabin pula meluahkan kekecewaanya apabila mengetahui syarikat hanya akan melunaskan bayaran tunggakan sahaja awal bulan depan.

“Macam mana dengan gaji Julai? Elaun-elaun pula bila nak bayar. Tak kan kami hanya dibayar gaji tertunggak sahaja?” soalnya dengan nada kesal.

Terdahulu, Ketua Pegawai Kewangan Eaglexpress, Andriaty Abdul Rahman ketika ditanya mengenai gaji bagi Julai termasuk tunggakan elaun, caruman KWSP dan Perkeso berkata: "Kita akan bayar dahulu baki tunggakan separuh gaji Mei kepada sebahagian pekerja yang belum dapat dan sebulan gaji Jun untuk semua pekerja."

Andriaty turut berkata, pihak pengurusan akan mengarahkan ketua jabatan untuk memaklumkan mengenai bayaran tunggakan gaji kepada kakitangan masing-masing.

Pada 23 Jun lalu, Nufam dilaporkan mendesak Eaglexpress supaya menyelesaikan kesemua tuntutan atau menghentikan operasi sehingga isu berkenaan diselesaikan.

Masalah tunggakan gaji Eaglexpress didedahkan mStar Online selepas syarikat penerbangan itu mengalami masalah kewangan sejak Februari lalu, disebabkan isu berkaitan sijil Audit Keselamatan Operasi IATA (IOSA).

Ketiadaan IOSA itu menyebabkan syarikat tersebut tidak dapat beroperasi berikutan perniagaan utama terikat dengan Arab Saudi Airlines (Saudia) bagi membawa jemaah umrah dan haji. Bagaimanapun, Eaglesxpress berjaya memperoleh IOSA baru-baru ini dan syarikat penerbangan itu kembali beroperasi.

Tags / Kata Kunci: Nufam , Eaglexpress , Ismail Nasaruddin

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan