Shafie Akui Tak Dendam Pada Umno, BN

Diterbitkan: Ahad, 24 Julai 2016 4:22 PM

(Ubah saiz teks)

KOTA BELUD: Selepas 20 hari mengumumkan keluar Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengakui tidak kecewa atau menyimpan dendam terhadap parti itu atau Barisan Nasional (BN).

Malahan, naib presiden Umno itu berkata, beliau tidak gusar apabila digantung keahliannya kerana menegur Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai isu 1MDB.

"Saya tak gusar,kecewa atau berdendam. Jawatan hanya sementara saja.

"Saya tahu risikonya, tapi untuk kepentingan rakyat saya kena tegas," katanya ketika berucap di hadapan ribuan penyokongnya di majlis Hari Raya di sini, Ahad.

Ahli Parlimen Semporna itu juga mendedahkan sebuah parti baharu akan ditubuhkan dan ia akan diumumkan apabila tiba masanya.

"Saya tak tahu bila pilihan raya, bukan kita yang tentukan.

"Tapi kita kena bersatu, berpadu, kena tumbangkan Barisan Nasional di bumi Sabah ini," katanya.

Walaupun tidak menyatakan dengan terperinci mengenai parti baharu tersebut, Shafie bagaimanapun telah memberi bayangan bahawa parti itu untuk rakyat negeri kelahirannya.

Katanya, rakyat Sabah tidak perlu takut atau bimbang dengan pertambahan parti atau kerusi di negeri itu kerana yang penting kuasa terletak di tangan rakyat.

"Walaupun banyak parti, jangan ikut parti tetapi pilihlah pemimpin yang kita boleh bergantung dan berteduh.

"Undilah parti yang kita akan tubuhkan ini. Saya akan umumkan nanti," katanya.

Ditanya mengenai keyakinannya terhadap parti baharu itu dan sokongan terhadap dirinya, Shafie berkata, beliau tidak akan berpolitik sekiranya tidak ada keyakinan.










Tags / Kata Kunci: Umno , Shafie Apdal , BN , Kota Belud

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan