Abdul Hadi Ikhlas Terima Parti Baharu Tun M - Khairuddin

Diterbitkan: Ahad, 24 Julai 2016 10:51 AM

Dr Mahathir dan Abdul Hadi dalam satu pertemuan pada akhir tahun lalu.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilihat ikhlas apabila memaklumkan hasrat untuk PAS bekerjasama dengan parti baharu yang bakal ditubuhkan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, kenyataan Presiden PAS itu diharap ia dapat menjadi realiti, sekali gus memantapkan perpaduan di kalangan barisan pembangkang.

"Parti PAS sentiasa berpegang utuh kepada hukum-hakam Islam. Jadi PAS harus berhati-hati di dalam memilih kelompok persahabatan untuk menjaga reputasi wadah perjuangan khususnya di saat bercakap mengenai hukum hudud.

"PAS mesti berhati-hati dengan setiap gerak-geri politiknya dengan Barisan Nasional untuk meyakinkan keseluruhan rakyat di tanahair bahawa parti ini benar-benar berpegang kepada ajaran agama islam yang tulen, berteraskan al-Quran serta as-Sunnah," katanya menerusi kenyataan di sini, Ahad.

Baru-baru ini, bekas perdana menteri itu telah mengumumkan pihaknya sedang berusaha untuk menyegerakan proses menubuhkan parti politik baharu yang akan bergabung  dengan pembangkang menjelang pilihan raya umum nanti.

Sehubungan itu, kata Khairuddin, beliau berhasrat menemui Abdul Hadi dalam masa terdekat untuk berbincang hala tuju hubungan PAS dengan barisan pembangkang.

"Saya mahu berbincang dari hati ke hati dengan tuan guru ke arah menjalinkan hubungan akrab dengan parti PAS bagi jangkamasa panjang untuk membentuk barisan pembangkang yang mantap.

"Ia juga bagi meyakinkan rakyat Malaysia bahawa kalangan pembangkang adalah lebih amanah dan berwibawa untuk memimpin negara ke era yang lebih gemilang mahupun cemerlang sepertimana zaman pentadbiran 22 tahun dr mahathir di mana negara kita dihormati di seluruh dunia," katanya.



iklan

Kolumnis

iklan

Iklan