Warga Asing Di Malaysia Kini 3.3 Juta

Diterbitkan: Sabtu, 23 Julai 2016 11:58 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Jabatan Perangkaan menganggarkan jumlah penduduk di negara ini mencecah 31.7 juta pada 2016 dengan kira-kira 3.3 juta merupakan warga asing.

Lebih ramai warga asing menetap di negara ini dengan jumlah itu meningkat kira-kira satu juta sejak enam tahun lalu.

"Peratusan warga asing pada 2016 adalah sebanyak 10.3% daripada jumlah penduduk," demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan jabatan itu pada Jumaat.

Pada 2010, warga asing dianggarkan sebanyak 8.2% atau 2.3 juta daripada jumlah penduduk iaitu kira-kira 28.3 juta.

Jumlah itu sebagaimana yang direkodkan jabatan tersebut bagi taburan penduduk dan laporan asas ciri-ciri demografi pada 2010.

Bilangan warga asing bukan satu-satunya perubahan dengan komposisi etnik rakyat Malaysia juga menunjukkan kadar pertumbuhan dalam tempoh tersebut.

"Etnik bumiputera mencatatkan peratusan tertinggi bagi kategori penduduk warganegara di Malaysia iaitu sebanyak 68.6 peratus diikuti oleh etnik Cina (23.4 peratus), India (7.0 peratus ) dan lain-lain (1.0 peratus)," katanya.

Menurut jabatan tersebut, bagi taburan penduduk mengikut kumpulan umur bagi tahun ini tidak menunjukkan perbezaan ketara berbanding 2015.

"Penduduk dalam kumpulan umur kosong hingga 14 tahun berkurang 0.4 peratus pada 2016 (24.5 peratus) berbanding 2015 (24.9 peratus).

"Penduduk dalam kumpulan umur bekerja, 15 hingga 64 tahun, meningkat 0.2 peratus pada 2016 kepada 69.5 peratus berbanding 2015 dan penduduk berumur 65 tahun dan lebih juga meningkat sebanyak 0.2 peratus kepada 6.0 peratus bagi tempoh yang sama," katanya.

Bagi peratusan penduduk mengikut negeri, Selangor mencatatkan peratusan negeri penduduk tertinggi pada tahun ini iaitu 19.9 peratus diikuti Sabah (12.0 peratus) dan Johor (11.5 peratus).

"Negeri yang mencatatkan peratusan penduduk terkecil pula ialah Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya iaitu masing-masing sebanyak 0.3 peratus," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan