Pilihan Raya Tergempar: PKR Minta Lebih Masa - Wan Azizah

Diterbitkan: Sabtu, 23 Julai 2016 6:00 PM

(Ubah saiz teks)

KAJANG: PKR meminta lebih masa bagi mempertimbangkan cadangan DAP untuk mengadakan pilihan raya tergempar di Pulau Pinang, kerana parti itu mahu mendapatkan pandangan ahlinya.

"Mesyuarat mengenainya akan diadakan pada Selasa.

"Kami minta supaya dia (Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng) berikan lebih masa untuk mempertimbangkan lebih lanjut isu berkenaan kerana ia melibatkan Pakatan Harapan," kata Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada majlis Aidilfitrinya di sini.

Terdahulu pada Sabtu, Guan Eng berkata, beliau akan membuat pengumuman pada Isnin berhubung keputusannya berkaitan pilihan raya tergempar itu.

Beliau berkata, pengumuman itu akan dibuat pada sesi taklimat jika rakan sekutu Pakatan Harapan - DAP, PKR dan Amanah mencapai persetujuan bersama mengenai cadangan itu.

Dr Wan Azizah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kajang berkata, setakat ini pihaknya masih berbincang mengenai perkara itu.

"Kami telah diberi taklimat oleh Ketua Menteri dan Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP serta faham kebimbangan mereka mengenainya," katanya.

Apabila ditanya alasan DAP apabila mencadangkan pilihan raya itu, katanya: "Saya tidak fikir kita dapat mendedahkan perkara itu buat masa ini."

Bagaimanapun, katanya, pihaknya akan mendapatkan pandangan ahli parti termasuk di peringkat akar umbi berkaitan cadangan itu.

Mengenai perhimpunan Bersih 5, Dr Wan Azizah berkata, PKR menyokong perkara itu.

"Kami sentiasa mahukan pilihan raya yang bebas dan adil. Kami selalu menyertai acara seperti itu," katanya.




iklan

Kolumnis

iklan

Iklan