Jemaah Diingat Jaga Kesihatan, Cuaca Mungkin Cecah 50 Darjah Celcius

Diterbitkan: Sabtu, 23 Julai 2016 9:57 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Bakal jemaah haji diingatkan supaya tidak terlalu terdedah kepada cuaca panas semasa menunaikan ibadah bagi mengelak strok haba.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH) Datuk  Johan Abdullah berkata hasil perbincangan TH dengan kerajaan Arab Saudi, dijangkakan suhu semasa musim haji tahun ini boleh mencecah sehingga 50 darjah Celcius.

"Oleh itu, kami ingin menasihati para jumaah haji agar menjaga diri supaya tidak terlalu terdedah kepada cuaca yang panas itu.

"Jemaah haji hendaklah minum air dengan banyak bagi mengelak berlaku strok  haba. Ini penting bagi menjaga kesihatan dan keselamatan jemaah supaya dapat melaksanakan kerja haji dengan sempurna," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian kursus Perdana  Haji peringkat negeri Terengganu yang disempurnakan Menteri Besar Ahmad Razif Abdul Rahman di Taman Tamadun Islam di sini malam Jumaat.

Johan turut mengingatkan jemaah agar tidak terikut-ikut atau terlibat dengan demonstrasi dan sentiasa fokus kepada ibadah.

Selain itu, jemaah perlu melakukan latihan berjalan kaki di kawasan kediaman masing-masing bagi menguatkan stamina dalam menghadapi suasana di tanah suci, kerana kediaman jemaah agak jauh daripada Masjidil Haram.

Katanya pada tahun ini, sebanyak 22,000 jemaah dari negara ini akan menunaikan fardhu haji bermula 4 Ogos dengan 47 penerbangan dari Kuala Lumpur terus ke Jeddah atau Madinah.

"TH tidak lagi mengadakan penerbangan haji melalui negeri-negeri kerana kita menyediakan pesawat Airbus yang lebih besar. Separuh penerbangan menggunakan penerbangan MAS dan separuh lagi penerbangan Saudi Air," katanya.

Sementara itu Ahmad Razif melahirkan penghargaan kepada TH kerana meneruskan subsidi kepada jemaah Haji sehingga RM170 juta walaupun dalam keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan.

Katanya, kos sebenar tambang menunaikan fardhu haji sebanyak RM18,890  seorang, tetapi TH menanggung sabsidi sebanyak RM8,910 dan setiap jemaah  hanya membayar sebanyak RM9,980.

"Tahniah TH. Saya berharap TH dapat mengekalkan tambang subsidi ini supaya  bakal-bakal haji mampu menunaikan fardhu haji dengan jumlah tambang yang  ditetapkan itu.

"Saya ingin ingatkan kepada 1,300 jemaah dari Terengganu supaya dapat  mengerjakan ibadah haji dengan sempurna dan menjaga tingkah laku serta  mengikut arahan TH dari semasa ke semasa," katanya. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: jemaah haji , TH

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan