Hampir 6,000 Petani Perlis Terjejas Padi Tidak Sempurna

Diterbitkan: Ahad, 17 Julai 2016 1:22 PM

(Ubah saiz teks)

KANGAR: Pendapatan hampir 6,000 petani di kawasan utara Perlis terjejas apabila keseluruhan 7,500 hektar sawah padi diusahakan mereka tidak tumbuh sempurna akibat cuaca yang menyebabkan keadaan sawah kering-kontang.

Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) negeri Shaidan Nordin berkata daripada keseluruhan 11,500 hektar sawah padi di kawasan terbabit, hanya 30 peratus kawasan yang boleh ditanam padi namun secara kurang sempurna.

"Tiga puluh peratus kawasan itu yang ditabur benih padi mengeluarkan pokok padi tidak sempurna kerana sukar membesar dengan baik disebabkan tidak boleh ditabur baja apabila sawah dalam keadaan kering atau kurang air," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Paya di sini, Ahad.

Berikutan keadaan itu, para petani hanya akan mula menabur benih padi di petak sawah apabila hujan mulai turun sejak lebih sebulan lalu setelah Perlis diancam fenomena El Nino yang mengakibatkan kemarau selama lebih empat bulan.

Bagaimanapun, tambah beliau hujan yang turun sejak kebelakangan ini secara tidak berterusan menyebabkan sawah kembali kering dan anak padi yang sedang mula membesar hampir mati dengan daunnya menjadi kemerah-merahan.

Terdahulu, semasa berucap merasmikan mesyuarat agung tersebut Shaidan menasihatkan para petani untuk berusaha mencari alternatif mempelbagaikan tanaman sampingan tanpa mengharapkan kepada padi semata-mata.

Beliau memberi contoh tanaman sayur-sayuran mengambil masa singkat untuk sedia dituai hasilnya sebagai menampung pendapatan mereka semasa proses tanaman padi tidak dapat diusahakan dengan sempurna. 

Tags / Kata Kunci: Perlis , Padi

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan