Penumpang Di Lapangan Terbang Ataturk Panik, Takut, Kata Pelajar Malaysia

Diterbitkan: Ahad, 17 Julai 2016 5:55 PM

Seorang lelaki mengibarkan bendera Turki di hadapan Lapangan Terbang Ataturk, Istanbul, Turki ekoran insiden rampasan kuasa yang berlaku di negara itu. Foto Reuters

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Seorang pelajar Malaysia berkongsi pengalamannya yang ketakutan semasa berada di Turki kerana kurangnya maklumat dan ketiadaan pasukan keselamatan di lapangan terbang Ataturk, berikutan cubaan rampasan kuasa oleh pasukan tentera di negara itu.

Pelajar jurusan psikologi, Audrey Poh Sze Huey yang menyambung pengajiannya dalam peringkat Ijazah di Manchester memberitahu The Star Online pada Ahad bahawa tiada kakitangan lapangan terbang atau anggota keselamatan yang membantu penumpang.

Dia mendakwa para penumpang yang terkandas di lapangan terbang tidak mempunyai punca rujukan bagi mendapatkan butiran penerbangan mereka.

Poh tiba di lapangan terbang itu untuk tujuan transit pada lewat malam Jumaat.

"Saya sangat takut kerana biasanya, lapangan terbang tidak memberitahu kami apa-apa. Saya sendiri mendapatkan maklumat menerusi Twitter dan berita seperti BBC.

"Tiada penjelasan, tiada kakitangan lapangan terbang. Saya hanya periksa secara dalam talian untuk mengetahui perkembangan," kata Poh, sambil menambah bahawa dia hanya mengetahui pesawatnya bersedia untuk berlepas, apabila membuat pemeriksaan secara dalam talian.

Katanya, ada ketika lapangan terbang seperti terbiar dan beberapa perusuh memasuki kawasan itu.

Ditanya sama ada keadaan itu menyebabkan huru-hara, Poh berkata, walaupun dalam ketakutan, kebanyakan penumpang hanya duduk diam kerana tiada pegawai keselamatan di dalam bangunan.

"Tiada sesiapa pun melainkan penumpang di sana dan kakitangan hanya datang kira-kira pukul 11 pagi Sabtu, waktu Turki," katanya.

Poh, yang sepatutnya meneruskan penerbangan ke Malaysia pada pukul 2.05 pagi waktu Turki pada hari sama, berkata pada awalnya keadaan di lapangan terbang begitu tenang.

"Pada mulanya ia agak tenang. Saya tidak fikir orang ramai mengetahuinya (cubaan rampasan kuasa) sehingga menjelang tengah malam. Kemudiannya semua jadual penerbangan ditunda. Bila mereka melihatnya di papan pelepasan, mereka menyedari sesuatu yang tidak ok berlaku.

"Semua kemudiannya sedar sesuatu sedang berlaku dan mereka mula panik apabila lapangan terbang terus sesak," katanya.

Poh turut memberitahu bahawa beberapa orang melarikan diri apabila mereka melihat perusuh membawa senjata.

"Saya tidak melihatnya sendiri. Tetapi saya melihat orang ramai berlari dan saya dengar mereka nampak tentera membawa senjata. Kesemua penumpang keliru kerana mereka tidak tahu siapa mereka," katanya.

Poh, yang pulang ke tanah air sempena cuti musim panas berkata, dia akhirnya menaiki penerbangan pada pukul 2 petang Sabtu waktu Turki dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pada pukul 5 pagi Ahad.

Menurut Poh, insiden itu menakutkannya sambil menambah bahawa dia akan menukarkan penerbangan pulang ke Eropah tanpa perlu transit di Turki.

Pihak berkuasa Turki kembali mengawal keadaan negara pada Sabtu, selepas satu cubaan rampasan kuasa oleh sekumpulan tentera yang mahu merampas kuasa daripada Presiden, Recep Tayyip Erdogan, dan insiden itu mengakibatkan lebih 265 nyawa terkorban.

Tags / Kata Kunci: Atartuk

iklan

Video

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Kolumnis

iklan

Iklan