Satu Modul Khas Dalam PLKN Untuk Lahirkan Ikon Antidadah

Diterbitkan: Ahad, 17 Julai 2016 12:24 PM

Tan Sri Mohd Zaman Khan Rahim Khan

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Satu modul khas harus diwujudkan melalui Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) bagi melahirkan golongan belia yang mampu menjadi ikon pencegah najis dadah.

Ini sejajar dengan pengisytiharan 'Perangi Dadah Habis-Habisan' oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Sarawak, Februari lepas.

Bekas Ketua Pengarah Penjara Malaysia Tan Sri Mohd Zaman Khan Rahim Khan berkata modul itu haruslah bercirikan kepimpinan yang mampu menyampaikan mesej kepada masyarakat mengenai bahaya penggunaan dadah.

"Golongan belia antara yang paling ramai terlibat dengan penyalahgunaan dadah ini. Justeru, dengan melatih golongan muda ini, mereka mampu bertindak sebagai pembimbing rakan sebaya dalam mengatasi gejala tidak sihat ini.

"Selain pelatih PLKN didedahkan dengan maklumat tentang dadah, modul ini haruslah meliputi cara penyampaian awam yang berkesan dan melatih mereka menjadi kaunselor kepada yang memerlukan. Saya yakin mesej antidadah ini akan dapat disampaikan dengan lebih berkesan," katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Selain itu, Mohd Zaman Khan berkata kerajaan boleh menggunakan masa silam para penagih sebagai satu daripada kempen yang mampu memberi kesan kepada masyarakat.

"Kita boleh menggunakan bekas pesakit (penagih) ini sendiri sebagai 'motivator' kepada masyarakat.

"Sebagai contoh pesakit ini boleh menceritakan kehidupan yang mereka alami sepanjang terlibat dengan najis dadah. Sekaligus ia akan menakutkan orang lain daripada terjebak dalam kancah ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau menyarankan agar kerajaan segera meletakkan daun ketum di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi membolehkan tindakan diambil.

"Kita tidak mahu kerajaan dipersalahkan sekiranya isu ketum ini terus menyerang anak muda terutamanya di sekitar pantai timur negara.

"Mengambil contoh di negara jiran, Thailand telah mengambil langkah holistik dengan menaikkan 'banner' di sekitar negara itu dengan memaparkan bahaya pengambilan ketum," katanya mengulas mengenai peningkatan penyalahgunaan ketum dalam kalangan remaja.

Menurutnya, Malaysia meletakkan kesalahan penyalahgunaan ketum di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000, penjara maksimum empat tahun atau kedua-duanya tetapi bagi kebanyakan kes, pesalah hanya akan didenda.

"Saya berharap ketum ini dapat diletakkan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952  sebagai salah satu dadah yang harus dijauhi oleh masyarakat. Kita tidak mahu melihat generasi kita hilang kualiti dan terus hanyut dalam perkara seperti ini," katanya.

Tags / Kata Kunci: PLKN

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan