Ravi Setuju Tiga Syarat Pekerja Rayani Air

Diterbitkan: Jumaat, 15 Julai 2016 3:21 PM

Ravi (kiri) dan Karthiyani.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pemilik Rayani Air, Ravi Alagendrran bersetuju mengikut tiga syarat yang dikenakan sekumpulan pekerjanya bagi menghidupkan kembali syarikat penerbangan itu.

Tiga syarat itu ialah – Ravi dan isteri, Datuk Karthiyani Govindan tidak lagi menerajui Rayani Air dan pengurusan perlu dikendalikan pelabur - urusan permohonan lesen dan pelabur perlu membabitkan wakil pekerja dan perjanjian pelaburan dilakukan di Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) - penstrukturan semula pengurusan dilakukan pelabur tanpa campur tangan Ravi dan Karthiyani. 

Menurut Ravi, beliau sekali lagi menegaskan bahawa pelabur berpotensi akan menerajui syarikat penerbangan itu dengan pasukan pengurusan baharu lebih baik.

“Ya, kami hanya akan jadi sebahagian pemegang saham sahaja. Biar pelabur yang mengendalikan pengurusan termasuk operasi penerbangan.

“Pelabur juga akan membuat penyusunan dan pengambilan pekerja baharu dan lama tanpa campur tangan kami,” katanya kepada mStar Online pada Jumaat.

Pada Jumaat, mStar Online melaporkan sekumpulan pekerja Rayani Air sedia memberi kerjasama kepada Ravi tetapi mengenakan tiga syarat bagi menyelamatkan syarikat penerbangan itu.

Ravi berkata, beliau turut bersetuju dengan syarat yang memerlukan penglibatan wakil pekerja bagi urusan perolehan lesen dan pelabur.

Bagaimanapun katanya, syarat yang menuntut perjanjian antara Rayani Air dan pelabur perlu dimeterai di Mavcom bergantung kepada kerjasama suruhanjaya itu.

“Di pihak saya ok untuk membuat MoU (perjanjian persefahaman) dengan pelabur di Mavcom. Tetapi ia perlu mendapatkan kebenaran Mavcom terlebih dahulu,” katanya.

Menurut Ravi, kesediaannya untuk bersetuju terhadap tiga syarat itu adalah demi memastikan Rayani Air dapat beroperasi semula, selain menyelesaikan segala masalah yang melanda syarikat penerbangan itu.

“Lagipun saya dan pekerja bukan bermusuh, cuma saya akui mengalami masalah kewangan menyebabkan saya tidak dapat membayar gaji mereka,” katanya sambil menambah beliau bersedia ntuk mengadakan pertemuan dengan wakil pekerja bagi membincangkan kerjasama ini dengan lebih lanjut

Dalam pada itu, Ravi berkata, beliau akan turut berusaha mengadakan perjanjian dengan pelabur bagi peruntukan sejumlah dana awal untuk melunaskan beberapa bayaran termasuk sebahagian tunggakan gaji pekerja dan bayaran balik tiket penerbangan.

Terdahulu, wakil pekerja, Zulkalnain Azdan menegaskan bahawa tiga syarat buat Ravi bertujuan untuk menjaga kepentingan semua pihak termasuk pelabur, pekerja dan pelanggan, selain memastikan segala urusan sepanjang proses berkenaan dilakukan dengan telus dan lancar.

Pada Khamis, mStar Online melaporkan Mavcom menjelaskan bahawa Rayani Air perlu membuat permohonan baharu ASL dan memenuhi kriteria yang ditetapkan, bagi membolehkan ia dapat beroperasi semula sebagai syarikat penerbangan komersial.

Difahamkan, Rayani Air perlu memohon Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) daripada Mavcom terlebih dahulu, sebelum mendapatkan Sijil Pengendali Udara (AOC) daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

Pada 13 Jun pula, Mavcom membuat keputusan membatalkan ASL milik Rayani Air kerana telah melanggar syarat-syarat lesen berkenaan selain kurang keupayaan dari segi kewangan dan pengurusan untuk meneruskan operasi sebagai syarikat penerbangan komersial. Ia diikuti pembatalan AOC oleh DCA pada hari sama.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan