Malaysia Tawar Bantuan Kepada Perancis Atasi Radikalisasi

Diterbitkan: Jumaat, 15 Julai 2016 3:44 PM

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

(Ubah saiz teks)

ULAANBAATAR (Mongolia): Malaysia, yang mempunyai pengalaman luas menangani isu keganasan sejak 1948, hari ini menawarkan prosedur operasi standard (SOP) mengenai pemulihan dan deradikalisasi kepada Perancis dan negara lain.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata SOP dalam empat bahasa itu, termasuk Perancis, akan ditawarkan kepada negara berkenaan yang menghadapi serangan pengganas terbaru pada Khamis.

"Berbanding jenayah terancang, ideologi jenayah harus dilihat lebih daripada sekadar keganasan. Ini ideologi...ada usaha radikalisasi dan Malaysia mempunyai SOP untuk dikongsi dengan negara-negara mangsa keganasan," katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia di sini Jumaat.

Zahid, yang mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Mesyuarat Asia-Eropah ke-11 yang bermula Jumaat, berkata Malaysia sedia menawarkan latihan untuk pengajar bagi negara yang mempunyai masalah radikalisasi.

Menurut media asing, sekurang-kurangnya 80 orang terbunuh di selatan Perancis, selepas sebuah trak dilaporkan merempuh sekumpulan penduduk yang sedang merayakan Hari Bastille.

Pada November tahun lepas pula, lebih 100 orang terbunuh dalam serangan pengganas di Paris.

Zahid berkata Malaysia melahirkan rasa dukacita terhadap kejadian itu dan bimbang ia akan memburukkan agama Islam jika dilakukan oleh pengganas yang menggunakan nama Islam.

Mengulas lanjut tawaran SOP itu, Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata beliau telah mengarahkan Jabatan Penjara, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, beberapa pakar psikologi dan ulama untuk membantu negara-negara berkenaan.

"Oleh kerana ini masalah jangka panjang, jika tak selesai segera, libatkan imej Islam, parah. Islam tak ajar bunuh, keganasan, tapi telah libatkan imej...sebab nila setitik yang rosakkan susu sebelanga," katanya.

Malaysia, yang telah menangani ancaman komunis dan kumpulan militan, juga telah menawarkan SOP itu kepada Amerika Syarikat untuk program rehabilisasi militan yang ditahan di Guantanamo, kata Zahid.

"Amerika Syarikat telah menerima tawaran kita dan akan menghantar pegawai ke Malaysia. Ini menunjukkan komitmen Malaysia untuk berkongsi dengan mereka, walaupun kita negara kecil," kata Zahid.

iklan

Video

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Kolumnis

iklan

Iklan