Dr Rose Lena Dilantik KSU Baharu KPWKM

Diterbitkan: Jumaat, 15 Julai 2016 3:27 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa mengumumkan pelantikan Dr Rose Lena Lazemi sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang baharu menggantikan Datuk Sabariah Hassan.

Dalam kenyataan di sini, beliau berkata pelantikan berkenaan berkuat kuasa Jumaat.

Dr Rose, 53, merupakan lulusan Ijazah Doktor Falsafah bidang Pengurusan Sumber Manusia dari University of Leeds, United Kingdom (UK), Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari University of Manchester, United Kingdom dan Ijazah Sarjana Muda Ekologi dari Universiti Malaya.

"Beliau telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam lebih 27 tahun dan mula menyertai perkhidmatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 1 Ogos 1989," kata Ali.

Antara jawatan yang pernah disandang beliau ialah Penolong Setiausaha Bahagian Perancangan dan Pembangunan Kementerian Tenaga, Telekom dan Pos serta Ketua Penolong Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu).

Ali yakin pengalaman luas pegawai berkenaan berupaya melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan dan mampu meneruskan visi KPWKM sebagai peneraju utama untuk mencapai kesaksamaan gender, pembangunan keluarga dan masyarakat penyayang sebagai asas pembentukan negara maju.

Tags / Kata Kunci: KPWKM

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan