Gangguan, Permohonan Saat Akhir Akibatkan Kaunter Imigresen Sesak

Diterbitkan: Khamis, 14 Julai 2016 10:02 AM

Mohd Zulfikar (berdiri) meninjau proses permohonan pasport antarabangsa oleh orang ramai di kaunter imigresen. -fotoTHESTAR

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Kaunter imigresen bagi pasport antarabangsa Malaysia sentiasa menangani permintaan tinggi seperti di cawangan Putrajaya iaitu sehingga mencecah 700 permohonan sebelum ini berikutan musim cuti sekolah.

Isnin lalu sahaja mencatatkan kira-kira 500 permohonan pasport yang diterima di pejabat bahagian pasport di Menara Ikhlas, Presint 3 di Putrajaya, yang dibuka semula selepas lima hari ditutup kerana cuti umum sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pasport Jabatan Imigresen, Datuk Mohd Zulfikar Ahmad berkata, jabatan itu sentiasa melaksanakan dengan penuh komited untuk memenuhi permintaan tinggi permohonan pasport.

Katanya, Jabatan Imigresen sentiasa menerima bilangan permohonan pasport yang tinggi setiap hari terutama pada musim cuti sekolah kerana ramai yang merancang untuk ke luar negara.

"Sebarang permohonan pasport seperti di Putrajaya bergantung kepada keadaan semasa. Kalau banyak permohonan, kita akan mengehadkan pengeluaran nombor giliran.

"Tempoh masa pengeluaran nombor adalah tidak menentu kerana ia bergantung kepada keadaan. Walaupun biasanya kita berhenti mengeluarkan nombor sekitar pukul 3 petang, tetapi kita pernah menerima permohonan pada pukul 4 petang disebabkan kecemasan untuk urusan ke luar negara.

"Kita melakukan yang terbaik untuk menangani permintaan yang tinggi daripada orang ramai," katanya kepada mStar Online.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai masalah yang berlaku bagi permohonan pasport pada Isnin lalu sehingga menimbulkan rungutan orang ramai.

Timbul dakwaan bahawa orang ramai tidak dapat membuat permohonan dokumen perjalanan itu semasa gangguan berlaku sejak pukul 10 pagi, malah mereka mendakwa pengeluaran nombor giliran turut dihentikan.

Mengakui keadaan yang berlaku disebabkan gangguan teknikal, Mohd Zulfikar menjelaskan bahawa masalah itu hanya berlaku di beberapa cawangan imigresen di Lembah Klang selama kira-kira sejam sehingga sekitar pukul 11 pagi.

"Kita ada maklumkan kepada orang ramai mengenai gangguan yang disebabkan masalah teknikal. Kita minta mereka bersabar dan boleh menunggu untuk membuat permohonan pasport apabila keadaan kembali pulih.

"Selepas pukul 11 pagi, operasi kembali seperti biasa dan kita masih menerima banyak permohonan," ujar Mohd Zulfikar, sambil menambah bahawa berdasarkan laporan, gangguan hanya berlaku di beberapa tempat di Lembah Klang termasuk Putrajaya.

Mengenai pemberian nombor giliran dihentikan, Mohd Zulfikar berkata, langkah itu diambil hanya sepanjang gangguan teknikal berlaku selama sejam kerana dikhuatiri proses pengeluaran pasport tidak dapat dijalankan.

"Kita hanya tak beri nombor semasa gangguan berlaku. Selepas sistem kembali pulih, pengeluaran nombor diteruskan dan permohonan berjalan seperti biasa," katanya.

Katanya, Jabatan Imigresen memohon maaf di atas kesulitan yang dihadapi orang ramai.

"Kita memohon maaf kepada mereka yang tidak dapat membuat permohonan pasport semasa gangguan berlaku. Tetapi kita melakukan yang terbaik demi memenuhi permintaan pelanggan," katanya.

Bagaimanapun Mohd Zulfikar menasihatkan orang ramai yang merancang percutian atau perjalanan supaya datang lebih awal untuk membuat pasport bagi mengelakkan masalah daripada berlaku.

"Kesesakan tidak sepatutnya berlaku untuk membuat permohonan pasport pada saat akhir kerana had tempoh pasport Malaysia adalah lima tahun," katanya.

Pasport Malaysia versi baharu dengan muka surat biodata polikarbonat dilengkapi cip mengandungi pelbagai ciri keselamatan tinggi. 

Pengeluaran pasport berteknologi baharu mengambil masa sejam selepas permohonan dan bayaran dibuat serta sekiranya proses berjalan lancar.

Sebanyak 1,294,752 pasport dikeluarkan dari Januari sehingga Jun 2016.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan