Rayani Air Akan Kembali Beroperasi?

Diterbitkan: Rabu, 13 Julai 2016 9:39 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pemilik Rayani Air, Ravi Alagendrran membayangkan syarikat penerbangan patuh syariah pertama negara itu akan kembali beroperasi.

Malah menurut sumber kepada mStar Online, Ravi masih boleh mendapatkan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) daripada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) dengan membuat permohonan bagi mendapatkan lesen itu.

Ravi berkata, beliau kini dalam perancangan untuk menyusun barisan pengurusan baharu selain mendapatkan pelabur yang berpotensi.

Jelas Ravi, pengurusan tersebut akan melibatkan 'orang baharu' termasuk kakitangan sedia ada, masing-masing mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam bidang penerbangan.

Ravi mendakwa, sebahagian daripada pekerja Rayani Air juga akan kembali berkhidmat menerusi pengurusan baharu yang akan dikendalikan pihak pelabur.

"Saya kini dalam perancangan untuk menyusun pengurusan syarikat yang lebih baik, dan akan dikendalikan pelabur berpotensi nanti.

"Saya bersedia untuk 'menghidupkan' semula Rayani Air. Saya akan mendapatkan ASL bagi membolehkan Rayani Air kembali beroperasi. Saya sedang usahakan," katanya kepada mStar Online.

Ravi bagaimanapun tidak menetapkan sebarang tempoh kerana katanya, usaha untuk mendapatkan ASL sedang dilaksanakan.

Pada 13 Jun lalu, Mavcom membuat keputusan membatalkan ASL milik Rayani Air kerana telah melanggar syarat-syarat lesen berkenaan selain kurang keupayaan dari segi kewangan dan pengurusan untuk meneruskan operasi sebagai syarikat penerbangan komersial.

Ia diikuti pembatalan Sijil Pengendali Udara (AOC) oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA) pada hari sama.

Pada 2 Julai lalu, mStar Online melaporkan keputusan Mavcom membatalkan ASL milik Rayani Air adalah muktamad dan pembatalan itu tidak boleh dibuat rayuan.

Ini bermakna syarikat penerbangan itu perlu membuat permohonan semula untuk mendapatkan lesen baharu, bagi membenarkannya beroperasi sebagai syarikat penerbangan komersial.

Mengenai pelabur, Ravi mendakwa terdapat beberapa pihak yang masih berminat untuk menyuntik dana dan menerajui pengurusan baharu.

Ditanya adakah permohonan baharu ASL akan dibuat, Ravi hanya berkata: "Apa yang penting sekarang adalah saya perlu memastikan Rayani Air kembali beroperasi. Syarikat penerbangan ini akan terus menyediakan perkhidmatan, isu tunggakan gaji dan bayaran balik tambang dapat diselesaikan."

Sehubungan itu, beliau berharap rancangan itu dapat dipermudahkan dengan kerjasama semua pihak terutama kerajaan dan Mavcom.

"Saya juga perlu mendapatkan sokongan dan kerjasama daripada pekerja, pelanggan termasuk NGO (badan bukan kerajaan)," ujar Ravi.

Jumaat lalu, mStar Online melaporkan Ravi memohon maaf kepada semua pelanggan dan pekerjanya kerana gagal melunaskan tunggakan gaji serta membuat bayaran balik tiket sebelum Aidilfitri, seperti yang dijanjikan.

Ravi berkata, penarikan balik lesen-lesen milik Rayani Air dibuat ketika urusan memuktamadkan pelaburan ke dalam syarikat penerbangan itu, sehingga mengakibatkan tiada pelabur yang mahu memberi kerjasama.

Rayani Air menerima kedua-dua ASL dan AOC daripada DCA sebelum memulakan penerbangan sulung pada 20 Disember tahun lalu.

Bagaimanapun, ASL yang membolehkan pemegang lesen tersebut untuk menjalankan perkhidmatan penerbangan berjadual, seperti penerbangan komersial berjadual, kini di bawah tanggungjawab Mavcom, yang baharu ditubuhkan pada 1 Mac 2016.

Pada Isnin, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan menyifatkan tindakan Mavcom membatalkan ASL milik Rayani Air sebagai 'tergesa-gesa'.

Tags / Kata Kunci: Rayani Air

iklan

Video

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Kolumnis

iklan

Iklan