Air Terjun Pak Lah Dalam Keadaan 'Menyedihkan'

Diterbitkan: Ahad, 10 Julai 2016 1:35 PM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Air Terjun Bayan Lepas, atau lebih dikenali penduduk tempatan sebagai Air Terjun Pak Lah, tempat riadah bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi sewaktu kecil untuk mandi-manda, kini kotor dan dijadikan tempat pembuangan sampah.

Menurut penduduk tempatan, kira-kira tujuh tahun lepas, ketika Abdullah masih menjadi Perdana Menteri, air di kawasan itu jernih dan ramai yang mengunjungi lokasi itu untuk berkelah.

Mohamad Ishak Ismail, 58, yang menetap di sekitar air terjun itu sejak 35 tahun lepas, berkata tiada siapa yang cuba untuk memelihara kawasan tersebut walaupun bilangan air terjun di negeri ini semakin berkurangan.

"Adalah menyedihkan melihat air terjun ini dalam keadaan sekarang memandangkan tiada siapa yang mengambil berat. Dulu tempat ini sangat cantik, ramai yang datang berkelah di sini terutamanya mereka yang berkeluarga," katanya kepada Bernama.

Ishak berkata keadaan air terjun itu berubah secara drastik selepas tanah itu diswastakan dan kualiti air terjejas selepas pembangunan dijalankan bersebelahan sumber air berkenaan.

"Saya tertanya-tanya bagaimana pembangunan seperti itu diluluskan sebab kedudukannya sebelah sumber air," katanya.

Tinjauan Bernama mendapati terdapat beberapa projek kediaman tinggi sedang dalam pembinaan bersebelahan air terjun itu dan semua diluluskan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Sebelum ini, MBPP dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berjanji untuk menyelia dan mencantikkan kawasan itu berikutan kejadian tanah runtuh pada 2013.

Walau bagaimanapun, usaha kedua-dua badan itu nampaknya tidak dilakukan secara berterusan kerana tapak itu kini dipenuhi dengan sampah dan kemudahan yang dibina kini terbiar.

Bukan sahaja air terjun itu kini bertukar menjadi tapak buangan sampah, penduduk setempat juga bimbang jika kawasan itu dikuasai warga asing dan dijadikan sarang penagih dadah kerana kedudukannya yang terpencil.

Siti Salimah Kassim, 44, berkata orang ramai takut pergi ke tempat air terjun berkenaan kerana ramai warga asing yang menetap di sekitar kawasan itu.

"Kami tidak tahu mereka menetap di sini secara sah atau tidak sebab  kadang-kadang kami lihat mereka membawa kanak-kanak dan bayi. Apa yang kami tahu mereka mungkin bekerja sebagai buruh binaan," katanya.

Siti Salimah juga berkata dia bimbang kawasan itu dijadikan sarang dadah terutama mereka yang menghidu gam.

"Anak lelaki saya pernah beritahu dia lihat beberapa tin gam di bahagian atas air terjun itu. Saya dah larang dia ke tempat tersebut, risaukan keselamatannya.

"Saya amat berharap pihak majlis dan pihak berkuasa tempatan lain boleh melakukan sesuatu untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku di kawasan kejiranan ini," katanya.

Satu-satunya kawasan air terjun yang dipelihara di negeri ini ialah di Botanical Gardens manakala yang lain sama ada telah kering atau tercemar.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan