Pengalaman Raya Bermakna Buat Pelajar Belgium

Diterbitkan: Sabtu, 9 Julai 2016 10:33 AM

Van De Velde seronok menyambut Aidilfitri bersama keluarga Dr Robiah (kanan).

(Ubah saiz teks)

PONTIAN: Pelajar Belgium, Sil Van De Velde yang datang ke Malaysia untuk mempelajari keunikan budaya bagi melengkapkan tesisnya dalam bidang pelancongan melalui pengalaman berbeza menerusi lawatannya ke Malaysia.

Memakai baju melayu berwarna hijau yang lengkap dengan samping hitam perak dan bersongkok, Van De Velde tersenyum sambil menikmati makanan tradisi seperti ketupat, rendang dan sate semasa menyambut Hari Raya pertama.

Dalam satu temu bual, Van De Velde berkata dia juga turut berpuasa bersama kenalan baru yang beragama Islam ketika datang ke sini.

Bukan sahaja berjaya berpuasa selama dua hari malah dia juga memenuhi hasrat untuk meraikan Aidilfitri ala tradisi kampung.

Pelajar 24 tahun ini menyambut perayaan itu bersama keluarga Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Robiah Suratman di Kampung Asam Kumbang Darat, Benut.

"Ini merupakan pengalaman yang sangat berharga. Orang di sini begitu mesra dan saya rasa bagaikan berada di negara sendiri.

"Saya juga belajar untuk membuat makanan kegemaran saya iaitu ketupat yang dimakan bersama rendang daging," katanya.

Selain itu, van De Velde yang tiba di Malaysia sebulan lalu berkata dia tertarik dengan gaya hidup masyarakat di sini yang berbilang kaum dan dapat berkongsi keunikan budaya yang pelbagai.

Lawatannya yang datang tepat pada bulan Ramadan, secara tidak langsung membantu tesis yang dijalankan dalam memahami konsep berpuasa dan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

"Saya berjaya puasa penuh sebanyak dua kali. Kali pertama, saya tidak berasa sukar kerana langsung tidak berasa lapar mahupun dahaga. Apabila sibuk melakukan kerja tertentu, waktu berbuka puasa pun tiba.

"Namun kali kedua sedikit mencabar tetapi menyeronokkan kerana dua hari sebelum Hari Raya dan saya berada di kampung berpuasa bersama keluarga yang menyenangkan," katanya.

Van De Velde berkata dia turut berjaya melawat Sarawak dan Melaka.

Van Del Velde kini menduduki semester akhir di UTM yang menjalin kerjasama dengan Universiti Girona di Sepanyol, tempat dia belajar.


Tags / Kata Kunci: Sil Van De Velde , pelajar Belgium , Hari Raya , UTM

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan