Serangan Hanyalah Permulaan - Pakar

Diterbitkan: Rabu, 6 Julai 2016 8:30 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Di tengah-tengah rentetan kejadian pengeboman berani mati di banyak negara, seorang pakar keganasan telah memberi amaran bahawa serangan Negara Islam (IS) itu hanyalah permulaan untuk Asia Tenggara.

Serangan bom di sebuah pub di Selangor adalah satu tanda amaran, kata Pengarah di Institut Analisis Dasar bagi Konflik yang berpangkalan di Jakarta, Sidney Jones.


"Ketika IS berada di bawah tekanan yang lebih di Timur Tengah, ia mahu melihat lebih banyak serangan dilancarkan di tempat lain," kata Jones kepada The Jakarta Post.

IS juga telah menghantar mesej kepada polis Malaysia, memberi amaran bahawa 'serangan habis-habisan' akan dilakukan.

Menerusi satu video, Mohd Rafi Udin yang merupakan bekas pemandu teksi dari Negeri Sembilan telah menggesa penyokong IS di Malaysia, Indonesia, Thailand dan Filipina  supaya bersatu di bawah kepimpinan Abu Abdullah di Filipina.

"Kepada mereka yang berada di Bukit Aman, ketahuilah anda tidak akan aman lagi. Kami akan menyerang kalian," kata Rafi berbahasa Melayu.

Video berdurasi dua setengah minit itu turut memaparkan sejumlah senjata dan rekrut IS dalam latihan di satu lokasi yang tidak didedahkan.

Dalam video itu, Rafi kelihatan duduk berlatar belakang laut bagi menyampaikan mesej kepada para penyokong di Nusantara, meminta mereka menunjukkan kesetiaan kepada pemimpin IS, Abu Bakar al-Baghdad dan melakukan serangan terhadap musuh-musuhnya.

Antara lain, Mohd Rafi juga menggesa 'rakan-rakan di Malaysia' untuk mula melakukan serangan tidak lama lagi.

Polis Malaysia di seluruh negara berada dalam keadaan sentiasa berjaga-jaga berikutan ancaman keganasan yang dibuat terhadap mereka.

Di mana-mana sahaja, aspek keselamatan telah dipertingkatkan termasuk di Bukit Aman, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim.

"Selain video yang dikeluarkan oleh IS, kami juga mendapat ancaman daripada mereka dengan cara yang lain. Kita tidak mengambil ini sebagai sesuatu yang ringan," katanya.

Noor Rashid berkata demikian sebagai mengulas propaganda video IS di mana Mohd Rafi, bersama seorang warga Indonesia dan Filipina, dilihat memenggal kepala seorang tahanan.

Beliau berkata polis telah memantau pergerakan Mohd Rafi selama bertahun-tahun sejak dia menyertai kumpulan radikal Kumpulan Militan Malaysia pada tahun 1998.

"Dia ditahan selama beberapa tahun di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri sehingga tahun 2006. Selepas dibebaskan, dia bekerja sebagai pemandu teksi di Cheras," katanya, sambil menambah dia telah berkahwin dan mempunyai lima anak.


Dia berlepas ke Syria pada tahun 2014 dan menyertai IS, dengan menggunakan nama Abu 'Awn al-Malizi.

Ditanya mengenai pembekuan cuti anggota polis di negara ini, Noor Rashid berkata, ini adalah langkah biasa semasa musim cuti.

"Hanya pembekuan 90 peratus untuk Hari Raya, bukan pembekuan 100 peratus dan bukan kerana ancaman," katanya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, yang bertanggungjawab bagi hal ehwal Islam, berkata: "Kita perlu membantu polis, bukan melemahkan mereka," sambil menambah keganasan tidak mempunyai tempat di dalam Islam.

Sementara itu, bahagian memerangi keganasan Cawangan Khas Bukit Aman mengakui bahawa adalah sesuatu yang mengejutkan melihat Mohd Rafi memenggal kepala tawanan dalam video.

"Ada kemungkinan dia telah dipengaruh ke titik di mana dia boleh memenggal kepala seseorang bagi mendapatkan kredibiliti supaya dia boleh dipilih sebagai ketua kontinjen Malaysia di Syria," kata Datuk Ayub Khan Mydin Pitchay, yang mengetuai bahagian ini.

Bercakap kepada South China Morning Post, beliau berkata: "Bagi Rafi menyembelih seseorang dengan cara ini menunjukkan bagaimana dia telah berubah secara drastik dalam masa yang singkat. Kesan daripada video ini sangat besar.

"Ini mungkin boleh menggalakkan mereka yang bersimpati dengan IS di Malaysia untuk melakukannya," kata Ayub Khan.

Beliau juga mengingatkan bahawa sasaran serangan yang berpotensi adalah kawasan tumpuan pada waktu malam, polis, bangunan kerajaan dan aset strategik.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan