Pekerja Rayani Air Ambil Upah Cuci Pinggan Untuk Tampung Perbelanjaan Aidilfitri

Diterbitkan: Rabu, 6 Julai 2016 1:59 PM

Gambar hiasan.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Takbir berkumandang di pagi raya menandakan umat Islam menyambut Aidilfitri, tetapi nasib 415 pekerja Rayani Air terus menjadi tanda tanya.

Sebahagian besar pekerja beragama Islam sepatutnya menyambut hari lebaran ini dengan penuh kegembiraan, namun ada keperitan yang terpahat dalam sanubari mereka.

Sehingga pagi 1 Syawal, jaminan syarikat penerbangan patuh syariah pertama negara itu untuk melunaskan tunggakan gaji pekerjanya sebelum Aidilfitri sekadar harapan dan janji  palsu.

Setakat ini, Rayani Air masih tidak dibenarkan beroperasi ekoran pembatalan lesen daripada pihak berkuasa sekali gus menyebabkan majikan tidak dapat menunaikan janji.

Saban hari pekerja terlibat menanti pelbagai janji manis pihak syarikat mengenai tunggakan gaji, tetapi ada di antara mereka mengambil pendekatan dengan mencuba nasib memerah keringat bagi memastikan rezeki tidak putus.

Bergelumang dengan kekotoran dan upah yang diterima tidak seberapa berbanding gaji sebelum ini yang boleh mencecah sehingga lebih RM5,000, pemuda berusia 28  tahun ini kini bekerja sebagai pencuci pinggan di sebuah restoran.

Hanya mahu dikenali sebagai Fauzi, anak kelahiran Muar ini menyifatkan dugaan paling hebat raya kali ini sepanjang penglibatannya selama sembilan tahun dalam industri penerbangan.

"Bukan mudah, dan sudah tentunya rasa perit kerana sekelip mata terpaksa memerah keringat dengan mencuci pinggan.

"Berapalah sangat upahnya yang tak sampai RM800 sebulan, tetapi alhamdulillah saya masih diberi rezeki dengan cara ini untuk meneruskan hidup," katanya kepada mStar Online.


Bagaimanapun kata pekerja di bahagian kargo ini, perubahan mendadak itu menyebabkan tiada persiapan dibuat untuk Aidilfitri kali ini.

"Tolak duit belanja setiap hari, baki yang ada tinggal lebih kurang separuh. Itu pun saya dapat berjimat kerana makan minum disediakan majikan secara percuma kepada pekerja.

"Duit yang berbaki ini masih boleh diberikan sebagai duit raya kepada anak-anak buah. Tak apalah seringgit dua seorang, asalkan mereka gembira," katanya yang merupakan anak yatim piatu.

Menurut Fauzi, pengalaman pahit mengambil upah sebagai pencuci pinggan akan dikenang kerana ia situasi paling perit yang dialami sepanjang bertugas di syarikat bermasalah itu.

"Harap majikan di Rayani Air perlu ada perikemanusiaan terhadap nasib pekerjanya. Saya harap pengurusan syarikat dapat merasai keperitan sebagaimana yang kami lalui," kata Fauzi yang sebelum ini hampir menangguhkan hasrat untuk berkahwin kerana masalah kewangan.

Sementara itu, seorang ibu tunggal yang merupakan kru kabin berkata, dia bersyukur kerana masih mempunyai ibu bapa yang dapat membantu pada waktu kesukaran ketika ini.

"Mereka banyak membantu dari segi perbelanjaan dan persekolahan anak-anak saya. Alhamdulillah, saya rasa amat bersyukur.

"Saya berjinak-jinak menjadi 'personal shopper' separuh masa, jadi pendapatan saya tak tentu dan berdasarkan permintaan. Duit yang ada saya dahulukan untuk membayar hutang dan pinjaman lain," katanya yang berusia 32 tahun dan mempunyai dua anak, masing-masing berumur tujuh dan enam tahun.

Mengenai persiapan raya, wanita yang enggan dikenali ini berkata, mujur anak-anaknya memahami keadaan yang berlaku.

"Walaupun masih kecil, pemikiran mereka matang. Bila saya beritahu raya kali ini tak ada baju baharu sebab ibu tak ada duit, mereka faham.

"Tapi itulah, sebak pula memikirkan nasib anak-anak. Bila dah ada duit lebih sikit nanti, saya akan belikan baju baharu untuk mereka, InsyaAllah," katanya sambil menambah bahawa menjadi kru kabin di Rayani Air sejak akhir tahun lalu, merupakan pekerjaannya yang pertama dalam industri penerbangan.

Gambar hiasan.

Seorang lagi pekerja Rayani Air yang enggan dikenali berkata, banyak barang bernilai termasuk barang kemas milik isteri dijual bagi melangsaikan hutang dan pinjaman disebabkan tiada gaji selama beberapa bulan.

"Rumah saya hampir kena sita dan pernah ada waktu tak ada duit nak beli susu untuk anak. Saya terpaksa pinjam duit," katanya yang juga pengurus di salah satu jabatan di syarikat penerbangan itu.

Katanya, hidup ibarat 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang' sememangnya memeritkan, dengan isterinya suri rumah sepenuh masa dan seorang anak berusia tiga tahun yang perlu ditanggung.

"Saya cuba buat apa-apa kerja yang ada sekarang ini. Ada juga hantar 'resume' untuk mohon kerja di syarikat lain, tetapi masih belum ada rezeki.

"Untuk raya kali ini, saya tak tahu nak cakap apa. Asalkan kami dapat bernafas, makan dan minum, dah cukup bersyukur.

"Saya harap majikan yang juga pemilik Rayani Air dapat menyelami bagaimana kesusahan kami semua menyambut Aidilfitri. Bukan mudah, perit rasanya," ujarnya dengan nada kesal.

Terdahulu, dilaporkan pemilik bersama Rayani Air, Ravi Alagendrran dan isteri, Datuk Karthiyani Govindan memberi jaminan bahawa masalah tunggakan gaji pekerja akan diselesaikan sebelum Aidilfitri.

Menurut wakil pekerja syarikat penerbangan itu, Zulkalnain Azdan, tindakan undang-undang akan diambil sekiranya pemilik Rayani Air gagal melunaskan gaji yang tertunggak sebelum 1 Syawal.

Pada 13 Jun lalu, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) bersama Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) membuat keputusan membatalkan Sijil Pengendali Udara (AOC) dan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) syarikat penerbangan itu sekali gus Rayani Air tidak lagi dibenarkan beroperasi sebagai sebuah syarikat penerbangan komersial.

Tags / Kata Kunci: Rayani Air , Fauzi , cuci pinggan , Aidilfitri

iklan

Video

Isnin, 18 Disember 2017 2:45 PM

Kecoh Naim Daniel 'Berduet' Dengan Hantu

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Kolumnis

iklan

Iklan