Pemandu Teksi Dihentam, Halang Ambulans Di Lorong Kecemasan

Diterbitkan: Selasa, 5 Julai 2016 3:16 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Tindakan empat pemandu teksi memandu di lorong kecemasan yang dirakam kamera dikutuk rakyat Malaysia kerana sikap mereka yang cuai.

Kamera yang dipasang pada sebuah ambulans telah merakamkan tindakan empat pemandu yang menghalang laluan kenderaan itu yang bergegas ke lokasi kejadian kemalangan melibatkan beberapa kenderaan di Lebuhraya Elite pada tengahari Isnin.

Menerusi video yang dirakam, pemandu ambulans dapat didengar sedang mengadu kepada rakannya mengenai tindakan teksi yang menghalang laluan di lorong kecemasan.

"Semua teksi," kata pemandu ambulans itu.

"Beri laluan, beri laluan, kami dalam perjalanan untuk ke lokasi kemalangan ," katanya menggunakan pembesar suara ambulans yang dipandunya.

Disebalik bunyi siren dan hon, pemandu teksi itu masih terus memandu di lorong kecemasan dan melambatkan pergerakan ambulans untuk sampai ke lokasi kejadian.

Pemandu teksi itu juga cuba keluar dari laluan itu tetapi gagal kerana keadaan lebuh raya yang sesak.

Video berkaitan kejadian itu dimuatnaik anggota pasukan perubatan Hospital Putrajaya, Muhd Azul di laman media sosial Facebook beliau dengan kapsyen: "Ada jugak yang xfaham bahasa lagi."

Beliau bergegas ke lokasi kemalangan melibatkan masing-masing dua lori dan kereta yang menyebabkan kesesakan sehingga tujuh kilometer di lebuh raya itu bermula dari KM28.6 Putrajaya ke KLIA.

Bagaimanapun, keadaan mangsa kemalangan tidak diketahui.

Video berkenaan dikongsi 12,000 di Facebook, mendapat hampir 8,000 reaksi dan lebih 1,000 komen.

Netizen menggesa pihak berkuasa supaya mengambil tindakan terhadap pemandu teksi terlibat.

Bulan lalu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan akan mengambil tindakan mahkamah terhadap pengguna jalan raya yang menggunakan lorong kecemasan.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, pengguna yang lorong kecemasan akan dihadapkan ke mahkamah mengikut Perkara 9 dan 53 Peraturan Lalu Lintas 1959 dan jika bersabit kesalahan boleh didenda maksimum RM2,000 atau penjara maksimum setahun.

Tags / Kata Kunci: teksi , lorong kecemasan , KLIA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan