Mavcom Terima 340 Aduan Berkaitan Rayani Air

Diterbitkan: Selasa, 5 Julai 2016 4:03 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Sebanyak 340 aduan berkaitan syarikat penerbangan patuh syariah, Rayani Air dilaporkan kepada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) setakat 4 Julai ini.

Pengarah Hal Ehwal Pengguna Mavcom, Pushpalatha Subramaniam berkata, suruhanjaya itu adalah entiti bebas yang bertanggungjawab mengawal selia perkara ekonomi dan komersial berkaitan industri penerbangan awam di Malaysia, termasuk mekanisme melindungi pengguna.

"Pelanggan yang telah membeli tiket dengan Rayani Air dan tidak dapat meneruskan perjalanan, boleh membuat aduan dengan syarikat penerbangan itu dan mendapatkan bayaran balik pada harga pembelian.

"Mavcom akan terus memantau dan mendaftar aduan yang dikemukakan kepada suruhanjaya ini, serta memberi nasihat dan bantuan yang diperlukan," dalam satu kenyataan menerusi emel kepada mStar Online pada Selasa.

Mavcom yang ditubuhkan pada 1 Mac 2016 mengikut Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 diletakkan di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan, di mana antara lain ia bertanggungjawab bagi penyelesaian pertikaian dan perlindungan pelanggan.

Pada Isnin, mStar Online melaporkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin menasihatkan semua pelanggan Rayani Air yang terjejas akibat pemberhentian operasi syarikat penerbangan itu, tampil mengemukakan aduan dan tuntutan dalam memastikan hak mereka terbela.

Menerusi aduan kepada KPDNKK, kata Hamzah, pelanggan akan dinasihatkan untuk membuat tuntutan yang sewajarnya di saluran yang betul atau membuat tuntutan terus kepada Mavcom.

Menurut Pushpalatha, Mavcom telah mengarahkan Rayani Air untuk membayar balik tiket pelanggan, tetapi dimaklumkan syarikat penerbangan itu mengeluarkan cek 'post-dated' kepada pelanggan yang membuat tuntutan.

Bagaimanapun difahamkan, sejumlah pelanggan mendakwa menerima cek tendang daripada Rayani Air.

Pushpalatha turut memberitahu, pelanggan Rayani Air boleh mengambil tindakan undang-undang bagi menuntut ganti rugi memandangkan syarikat penerbangan itu tidak lagi beroperasi.

"Jika pengguna telah mengambil insurans perjalanan, mereka perlu menyemak dengan agensi-agensi insurans masing-masing mengenai langkah seterusnya," katanya.

Terdahulu, mStar Online melaporkan beberapa keluarga dan pelanggan Rayani Air nyaris tidak pulang berhari raya akibat pembatalan penerbangan melibatkan tiket bernilai sehingga ribuan ringgit.

Nasib itu turut menimpa ramai lagi pelanggan syarikat penerbangan patuh syariah pertama negara itu yang membeli tiket untuk tujuan lain.

Rayani Air sebelum ini memberi jaminan untuk menyelesaikan bayaran balik wang penerbangan sebelum Aidilfitri.

Pada 27 Jun lalu, Rayani Air membuat pengumuman mengenai bayaran balik tambang, di akaun rasmi Facebook syarikat penerbangan itu.

Bagaimanapun, pengumuman tersebut telah ditarik balik, sehingga menimbulkan kekecohan di kalangan pelanggan dan membawa mereka datang ke pejabat Rayani Air untuk membuat tuntutan seperti yang dijanjikan.

Difahamkan, pejabat Rayani Air telah ditutup lebih awal sejak Jumaat lalu dengan notis pemberitahuan bahawa penutupan itu sempena cuti Aidilfitri.

Susulan itu, dilaporkan sekumpulan penumpang Rayani Air membuat laporan polis bagi menuntut syarikat itu membayar semula wang pembatalan penerbangan. Laporan polis dibuat di Balai Polis Seksyen 15 Shah Alam, dekat pejabat Rayani Air.

Pada 13 Jun lalu, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) bersama Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) membuat keputusan membatalkan Sijil Pengendali Udara (AOC) dan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) syarikat penerbangan itu sekali gus Rayani Air tidak lagi dibenarkan beroperasi sebagai sebuah syarikat penerbangan komersial.

Tags / Kata Kunci: Rayani Air , Mavcom

iklan

Video

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Khamis, 7 Disember 2017 8:00 PM

Nadzmi Adhwa Dikurung Selepas Kantoi Dadah

Rabu, 6 Disember 2017 2:00 PM

"Makin Ramai Nak Taja Saya" - Wany Hasrita

Kolumnis

iklan

Iklan