Sah! Baki Tunggakan Gaji, Elaun Eaglexpress Selepas Aidilfitri

Diterbitkan: Selasa, 5 Julai 2016 10:30 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Baki tunggakan gaji pekerja Eaglexpress Air Charter Sdn Bhd (Eaglexpress) sebagaimana yang dijanjikan syarikat penerbangan itu untuk Mei hanya dapat dilunaskan selepas Aidilfitri.

Eaglexpress telah melunaskan sebulan setengah gaji sebelum ini meliputi sebulan gaji bagi April dan setengah bulan gaji Mei kepada sebahagian pekerja syarikat penerbangan itu, manakala sebahagian lagi yang juga kru kabin menerima gaji dua bulan.

Perkara itu disahkan kepada mStar Online menerusi kenyataan bersama pengurusan kanan Eaglexpress iaitu Pengarah Eksekutif Hal Ehwal Korporat, Chan Kah Woh; Ketua Pegawai Kewangan, Andriaty Abdul Rahman; Penasihat Khas (Operasi dan Strategi), Sitham Nadarajah dan Naib Presiden Perancangan dan Penggunaan Tenaga Kerja, Kapten Md Yusof Nasir.

Pengurusan kanan Eaglexpress berkata, syarikat penerbangan carter untuk perkhidmatan umrah dan haji itu telah membayar tunggakan kepada lebih 300 pekerja dengan sebahagiannya adalah kru kabin sebanyak dua bulan gaji dan baki pekerja lain dibayar sebulan setengah gaji.

Kata mereka, dalam kesukaran yang dihadapi syarikat industri penerbangan, terutama cabaran mendapatkan sijil Audit Keselamatan Operasi IATA (IOSA) tahun ini, Eaglexpress berusaha untuk memastikan ia terus beroperasi. 

"Suntikan dana terhad dariapada pemegang saham mendorong syarikat untuk melaksanakan pemberian gaji secara adil, dengan mengambil kira kedudukan dan situasi semua pekerja.

"Oleh itu, semua 186 kru kabin mendapat dua bulan gaji penuh, manakala pekerja lain selama sebulan setengah gaji. Baki tunggakan gaji akan dilunaskan selepas Aidilfitri," jelas mereka kepada mStar Online dalam pertemuan di pejabat syarikat penerbangan itu di Kuala Lumpur pada Isnin.

Pada 23 Jun lalu, memo dikeluarkan pihak pengurusan yang memaklumkan dua bulan gaji tertunggak iaitu April dan Mei akan dibayar pada 27 Jun.

Bagaimanapun, ia sekadar janji tinggal janji apabila tiada bayaran dibuat ke akaun bank pekerja pada hari berkenaan, disebabkan masalah teknikal.

Beberapa hari kemudian, bayaran tunggakan gaji dibuat tetapi hanya selama sebulan setengah kepada sebahagian pekerja berbanding dua bulan seperti yang dinyatakan dalam memo.

Terdahulu, Eaglexpress memberi jaminan untuk melunaskan tunggakan gaji selama dua bulan termasuk elaun yang tertunggak sebelum Aidilfitri.

Menurut pengurusan kanan Eaglexpress, perniagaan syarikat baharu sahaja bermula susulan perolehan IOSA baru-baru ini, maka syarikat mengambil masa untuk memperoleh pendapatan.

"Kami menjangkakan perolehan pendapatan seawal-awalnya akhir Julai dan gaji pokok pada Jun akan menjadi keutamaan.

"Dijangkakan perniagaan kembali normal pada Oktober susulan bermulanya musim haji, dan ketika itu semua tunggakan termasuk elaun boleh dilunaskan," kata mereka.

Bagaimanapun, mereka menjelaskan bahawa sepanjang tempoh dari akhir Julai sehingga Oktober, syarikat akan membayar tunggakan berkenaan sekiranya dana yang terima adalah mencukupi untuk berbuat demikian.

"Syarikat akan terus beroperasi, menawarkan pesawat untuk jualan atau pajakan dan membuka tawaran kepada pelabur untuk suntikan dana," kata mereka sambil mengalu-alukan pelabur untuk menyuntik dana.

Mengenai dakwaan bayaran tunggakan gaji segelintir pekerja termasuk kru kabin dipotong, pengurusan kanan Eaglexpress berkata, ia berlaku kerana pekerja berkenaan telah mendapat 'sebahagian bayaran pendahuluan' sebelum ini.

Bagaimanapun, kata mereka sebarang pertikaian mengenai bayaran tunggakan gaji itu boleh dikemukakan kepada bahagian sumber manusia syarikat berkenaan.

Pada masa sama, kata pengurusan kanan Eaglexpress itu, sistem baharu yang digunapakai bahagian sumber manusia adalah antara faktor yang memberi masalah kepada isu penyata gaji dan perkara itu sedang diteliti.

"Jika berjalan lancar, penyata gaji mungkin boleh disalurkan terus kepada semua pekerja secara konsisten setiap bulan. Ia dalam perancangan," katanya sambil merujuk kepada keadaan sebelum ini di mana penyata gaji hanya akan diberikan berdasarkan permintaan.

Ditanya mengapa syarikat tidak mengeluarkan memo berhubung perkembangan terbaharu isu gaji, pengurusan kanan Eaglexpress berkata, perkara tersebut telah dimaklumkan kepada setiap ketua jabatan untuk menyalurkan maklumat kepada kakitangan masing-masing.

Pada 20 Jun lalu, mStar Online mendedahkan sebuah syarikat penerbangan carter gagal membayar gaji pekerjanya termasuk tidak membuat caruman KWSP dan Perkeso.

Eaglexpress kemudiannya tampil mengakui tunggakan berlaku disebabkan syarikat itu mengalami masalah kewangan selama beberapa bulan sejak Februari lalu, tetapi masih membuat 'sebahagian bayaran kepada sebahagian pekerja'.

Masalah itu disebabkan ketiadaan IOSA yang menyebabkan syarikat tidak dapat beroperasi berikutan perniagaan utama terikat dengan Saudi Arabian Airlines (Saudia) bagi membawa jemaah umrah dan haji.

Eaglexpress merupakan syarikat penerbangan carter yang berpangkalan di Kuala Lumpur bagi perkhidmatan umrah dan haji sejak 2012. Antara penerbangannya ke Arab Saudi adalah dari Malaysia, Indonesia, Afrika Utara dan Timur Tengah.


Tags / Kata Kunci: Eaglexpress , Perkeso , KWSP , Chan Kah Woh

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Kolumnis

iklan

Iklan