1MDB Terus Penuhi Obligasi Hutang

Diterbitkan: Selasa, 5 Julai 2016 5:37 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sekali lagi membuktikan pengkritiknya salah apabila, pada 29 Jun, 2016, telah membayar RM1.579 juta kupon faedah bagi sukuk RM2.4 bilion Bandar Malaysia yang matang pada 2024.

1MDB, ketika dihubungi Bernama mengesahkan pembayaran berkenaan.

Pembayaran itu merupakan pembayaran faedah kedua yang dibuat oleh 1MDB sejak pertikaiannya dengan syarikat berpangkalan di Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (IPIC).

Pembayaran pertama pada Mei apabila 1MDB membuat pembayaran kupon berjadual berjumlah RM143.75 juta bagi Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) RM5 bilion pada 5.75 peratus yang matang pada 2039.

Kedua-dua bayaran itu menunjukkan bahawa syarikat mempunyai kecairan yang mencukupi untuk membuat bayaran faedah dan memenuhi obligasi hutang semasanya walaupun terdapat kritikan.

Pembayaran itu juga menunjukkan komitmen syarikat terhadap obligasi hutang.

"1MDB menegaskan bahawa, walau apa pun pertikaian dengan IPIC, syarikat akan terus memenuhi obligasi hutang semasa," kata Presiden 1MDB Arul Kanda.

Beliau menegaskan bahawa syarikat itu kekal fokus untuk menyelesaikan pertikaian dengan IPIC dan komited kepada proses dialog berterusan dan berusaha ke arah penyelesaian demi kepentingan semua pihak berkepentingan.

Seorang peguam kanan dihubungi Bernama berpendapat timbang tara sebagai kaedah mencari penyelesaian yang boleh diterima oleh kedua-dua pihak dan merupakan opsyen yang biasanya terdapat dalam kontrak.

"Oleh itu, tindakan tersebut bukan suatu yang luar biasa dan proses ini dikawal oleh peraturan timbang tara," katanya.

Dalam kes pertikaian 1MDB-IPIC, IPIC memfailkan permintaan timbang tara dengan Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa London (LCIA) dan 1MDB mempunyai tempoh sehingga 11 Julai 2016 untuk mengemukakan jawapan balas sama ada  bersetuju dengan proses timbang tara itu.

Syarikat itu berkata ia akan memfailkan jawapan segera pada atau sebelum tarikh akhir.

Bagaimanapun, sesetengah pihak membuat tanggapan salah yang 1MDB dan pemegang saham perlu membuat pembayaran obligasi pada 11 Julai 2016.

Peguam kanan itu berkata, 11 Julai 2016 itu sebenarnya hanya untuk 1MDB  memfailkan jawapannya kepada permintaan IPIC bagi timbang tara.

"Ia satu permulaan kepada timbang tara, yang merupakan satu proses persetujuan bersama bagi pihak yang mempertikaikan untuk menyelesaikan perkara-perkara secara baik, tanpa menjejaskan hubungan jangka panjang," katanya.

"Jika ya, kedua-dua pihak akan melantik penimbang tara yang saling diterima oleh mereka. Pada masa itulah, baru pengurusan kes bermula dengan kedua-dua pihak memfailkan kenyataan tuntutan dan pembelaan masing-masing serta bantahan," kata peguam itu.

Peguam itu menegaskan bahawa walaupun terdapat persamaan dengan proses mahkamah tetapi LCIA sebenarnya bukan mahkamah.

"Tidak ada kaitan antara LCIA dan mana-mana mahkamah," kata LCIA dengan jelas dalam soalan lazim (FAQ) yang disiarkan di laman webnya: http://www.lcia.org/Frequently_Asked_Questions.aspx

Di bawah adalah beberapa perkara terpilih dalam FAQ mengenai LCIA.

S: Adakah LCIA satu badan kerajaan, atau badan yang dibiayai kerajaan?

A: LCIA tidak ada kaitan dengan, atau yang berkaitan dengan mana-mana bidang kuasa kerajaan. Ia merupakan badan swasta, bukan bertujuan mencari keuntungan, badan bebas sepenuhnya daripada mana-mana organisasi.

S: Bolehkah saya mendapatkan maklumat tentang timbang tara yang masih atau belum selesai daripada LCIA?

A: Kerahsiaan masih dianggap sebagai keutamaan asas timbang tara. Sesiapa pun yang bukan pihak kepada timbang tara, atau wakil undang-undang suatu pihak, boleh mendapatkan maklumat mengenai timbang tara yang belum selesai atau telah selesai daripada LCIA. Respons kami kepada sebarang permintaan ialah kami tidak boleh mengulas, tidak kira sama ada kami mengetahui mengenai perkara yang ditanya.

S: Adakah LCIA menyiarkan jumlah ganjaran?

A: Atas sebab kerahsiaan, berdasarkan Artikel 30 Peraturan LCIA, LCIA tidak tidak menyiarkan ganjaran.

S: Berapa lama tempoh purata timbang tara LCIA?

A: Tidak ada tempoh 'purata' dalam timbang tara. Jumlah wang yang menjadi persoalan, serta kerumitan teknikal dan undang-undang, mungkin berbeza antara satu kes dengan yang lain, begitu juga jumlah bukti, lisan dan bertulis, yang mungkin diperlukan untuk memutuskan pertikaian itu. Bagaimanapun, pada masa ini, kira-kira separuh daripada keseluruhan kes yang dirujuk kepada LCIA bermula dari permintaan bagi timbang tara hingga kepada ganjaran akhir biasanya dimuktamadkan dalam tempoh 12 bulan atau kurang, dan lebih daripada tiga suku tahun dalam 18 bulan atau kurang. -- Bernama

Tags / Kata Kunci: 1MDB , IPIC , hutang , Bandar Malaysia

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan