Adenan Jumpa Perdana Menteri Pada Isnin

Diterbitkan: Isnin, 4 Julai 2016 1:38 PM

Kenderaan rasmi yang dipercayai membawa Ketua Menteri Sarawak, Adenan Satem dilihat keluar dari perkarangan pejabat Perdana Menteri pada Isnin. Foto: Bernama

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Pejabat Perdana Menteri di sini.

Kenderaan rasmi yang membawa Adenan dilihat memasuki bangunan Perdana Putra, yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri, pada 9.05 pagi untuk pertemuan ituyang dijadualkan pada 9.30 pagi.

Kenderaan yang dinaiki Adenan kelihatan keluar dari perkarangan Bangunan Perdana Putra pada 10.45 pagi. Beliau hanya melambai ke arah media yang menunggu sejak 8.30 pagi untuk mendapatkan maklum balas beliau mengenai pertemuan itu.

Pejabat Ketua Menteri ketika dihubungi berkata kenyataan rasmi berhubungpertemuan itu mungkin akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri pada Ahad, perkara yang dibincangkan pada pertemuan itu adalah mengenai penurunan kuasa, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) dan cadangan-cadangan, Perjanjian Malaysia 1963, Akta Malaysia dan Laporan Suruhanjaya Cobbold.

Menurut kenyataan itu lagi, Adenan juga menyerahkan dua memorandum kepada Najib mengenai pendirian kerajaan negeri berhubung perkara berkenaan.

Pada 21 Jan lalu, Adenan yang mengambil alih tampuk kepimpinan Sarawak daripada Tun Abdul Taib Mahmud sejak Februari 2014, menyenaraikan 13 perkara yang dipersetujui oleh kerajaan persekutuan dalam penurunan kuasa pentadbiran kepada kerajaan negeri.

Dalam fasa pertama rundingan penurunan kuasa adalah antara kerajaan negeri Sarawak dan kerajaan persekutuan dengan rundingan fasa kedua akan menyentuh tentang hak negeri ini (pencerobohan persekutuan terhadap kuasa negeri), dan fasa ketiga mengenai permohonan royalti minyak dan gas.

Pada 26 Jun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata sebuah jawatankuasa teknikal mengenai penurunan kuasa ditubuhkan selepas mesyuarat peringkat tinggi pertama pada 13 Jun lepas.

Jawatankausa itu mengandungi wakil yang dicalonkan kerajaan negeri Sarawak dan Sabah bersama-sama wakil kerajaan persekutuan dan sejarawan dari dua negeri tersebut.

Sebelum itu, kabinet persekutan melantik Nancy dan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman untuk meneruskan rundingan fasa kedua penurunan kuasa atas hak-hak di bawah perlembagaan Perjanjian Malaysia 1963 bersama Jabatan Peguam Negara. -Bernama

Tags / Kata Kunci: Adenan Satem , Najib Tun Razak

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan