Rumah Vs Hotel

Diterbitkan: Ahad, 3 Julai 2016 11:14 AM

(Ubah saiz teks)

RUANG tamu berbanding lobi hotel. Unit apartmen sebagai ganti kepada suite hotel. Inilah trend pada hari ini.

Lebih ramai rakyat Malaysia memilih untuk menyewa penginapan hartanah persendirian semasa percutian mereka berbanding membuat tempahan bilik hotel.

Mereka melakukannya menggunakan perkhidmatan sewa bilik penginapan seperti Airbnb dan HomeAway yang berpangkalan di Singapura yang menawarkan pilihan sewa bilik penginapan kepada pelancong.

Bermula dari bilik single untuk unit pangsapuri, tetamu boleh menempah tempat penginapan daripada pemilik hartanah yang menyenaraikan hartanah mereka di laman sesawang tersebut.

Kadang kala, harganya jauh lebih murah berbanding kadar bilik yang ditawarkan hotel.

Ini adalah salah satu faktor yang mempengaruhi populariti perkhidmatan itu dengan Airbnb yang berpangkalan di San Francisco mempunyai lebih dua juta senarai hartanah yang disewa dari penyewa tempatan di kira-kira 191 negara seluruh dunia.

Di Malaysia, perkhidmatan ini turut semakin mendapat tempat di kalangan pelancong dan pemilik rumah yang ingin mendapatkan pendapatan sampingan dengan menawarkan perkhidmatan sewa jangka pendek.

Namun, industri hotel di negara ini mendakwa perkhidmatan itu menjejaskan pendapatan mereka.

Pengusaha hotel juga berkata pelanggan juga tidak dilindungi sepenuhnya di bawah perkhidmatan tersebut.

Menyamakan perkhidmatan Airbnb seperti Uber dalam perniagaan teksi, pengusaha mendakwa terdapat tuan rumah yang tidak tertakluk kepada peraturan sama yang dikenakan terhadap hotel dan tidak perlu membayar cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Di saat industri hotel menggesa kerajaan mengawal selia perkhidmatan itu, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan berkata perbincangan sedang dijalankan untuk menangani perkara tersebut manakala Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan terbuka terhadap maklum balas mengenai isu berkenaan.

Presiden Persatuan Hotel Malaysia, Sam Cheah melihat populariti perkhidmatan sewaan bilik seperti Airbnb sebagai mengancam industri perhotelan.

"Pemilik yang menawarkan hartanah mereka untuk disewa tidak tertakluk kepada keperluan yang sama termasuk standard keselamatan," katanya.

Cheah menegaskan bahawa tuan rumah mampu menawarkan kadar jauh lebih rendah kerana kos operasi mereka untuk menjalan perniagaan tersebut adalah lebih kecil.

"Mereka membayar penggunaan domestik bagi sewa dan bil utiliti. Mereka tidak perlu mematuhi keperluan keselamatan seperti memasang perlindungan kebakaran yang sepatutnya," kata Cheah.

Beliau berkata hotel juga mempunyai insurans liabiliti awam dan melindungi pengguna sekiranya berlaku kecuaian atau kebakaran.

"Kita bertanggungjawab melindungi pelanggan kami. Tetapi tiada polisi ditetapkan untuk pemilik tuan rumah yang menawarkan perkhidmatan sewaan bilik," katanya.

Cheah berkata ia adalah haram bagi pemilik rumah untuk mengendalikan perniagaan itu kepada pelancong apabila hartanah tersebut digunakan bagi kediaman domestik.

"Adalah tidak adil bagi penduduk yang jiran mereka menjalankan perniagaan itu kerana orang tidak dikenali berjalan keluar masuk dari premis tersebut," katanya.

Bekas Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan yang baharu sahaja digantikan dalam rombakan Kabinet pada Isnin berkata masih terlalu awal untuk membuat keputusan sama ada untuk mengawal selia pemilik rumah yang terlibat dalam perkhidmatan tersebut.

"Ini memerlukan perbicangan yang meluas. Kementerian ini mengalu-alukan maklum balas daripada pihak berkepentingan mengenai perkara tersebut termasuk pengusaha hotel dan gembira mendengar keprihatinan mereka," katanya.

Tags / Kata Kunci: Airbnb , HomeAway , hotel

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan