Peter Bellew Intai KLIA2

Diterbitkan: Sabtu, 2 Julai 2016 8:16 AM

Peter Bellew

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Peter Bellew telah memulakan hari pertamanya sebagai peneraju Malaysia Airlines Bhd (MAS) yang baharu dan berkata beliau mahu terus bergerak melakukan perubahan.

Beliau mahu memindahkan sebahagian daripada operasi syarikat penerbangan itu ke KLIA2 sebagai langkah pengurangan kos.

Bellew juga berjanji untuk menawarkan penjimatan yang lebih kepada pelancong dalam bentuk tambang yang lebih rendah.

Dalam tempoh 12 bulan akan datang, MAS akan mempunyai laman web, aplikasi telefon mudah alih, sistem tempahan perdagangan dan peralatan lapangan terbang yang baharu.

Ia juga akan memulakan laluan baharu dari pelbagai lapangan terbang di Malaysia ke destinasi Asean yang baharu serta sekali lagi menumpukan kepada pemasarannya secara global.

Bellew dilantik sebagai pengarah urusan kumpulan dan ketua pegawai eksekutif MAS berkuat kuasa 1 Julai, mengambil alih jawatan itu daripada Christoph Mueller.

Mueller akan meninggalkan syarikat penerbangan ini pada 1 September dan sedang bercuti sejak semalam.

Bagi Bellew, hari pertamanya di tempat kerja baharu begitu sibuk.

Beliau memulakan harinya pada awal pagi dan mempunyai tiga sesi 'town hall' dengan kakitangan bagi meyakinkan mereka bahawa tugas-tugas untuk memperbaiki MAS akan dilakukan.

"Kos lapangan terbang akan menjadi tumpuan segera dan kami merancang untuk mengendalikan beberapa penerbangan libur dari KLIA2 pada tahun 2017 di mana kosnya lebih rendah iaitu sebanyak RM33 bagi setiap penumpang atau RM5,412 bagi setiap penerbangan berbanding terminal utama KLIA.


"Dengan satu penerbangan setiap hari, ini akan menyaksikan penjimatan sebanyak RM1.975 juta setahun.

"Kami akan menawarkan penjimatan ini kepada pelanggan dengan tambang yang lebih rendah.

"Setiap kos akan akan diperiksa dengan teliti setiap hari tanpa menjejaskan apa-apa kualiti," kata Bellew menerusi kenyataan pertamanya yang dikeluarkan kepada media, Jumaat.

Beliau berkata pengalaman digital semasa membuat tempahan dengan MAS pada masa akan datang akan menyaksikan perubahan dengan pelaburan yang besar dibuat pada tahun ini dan tahun depan.

"Daripada pemilihan tempat duduk, kepada kualiti nasi lemak sehinggalah masa perjalanan, kami perlu memastikan keperluan setiap tetamu dengan pemilihan berbeza setiap individu dapat dipenuhi," kata Bellew.


MAS telah mengalami kerugian sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan berdepan dua bencana udara besar pada tahun 2014.

Selepas membuat carian di peringkat global, Mueller telah dilantik untuk menjadikan syarikat penerbangan itu dapat terus beroperasi, tetapi beliau mengambil keputusan untuk berhenti dua tahun lebih awal daripada kontrak akhirnya.

Mueller dikatakan menyertai syarikat penerbangan terbesar di dunia, Emirates, sebagai ketua pegawai teknologi.

Bellew telah menyatakan dengan jelas bahawa MAS akan terus memberi tumpuan kepada pemulihan dan fokus akan diberikan dalam menawarkan penerbangan lebih bijak, mengurangkan kos, memperbaiki apa sahaja yang perlu dilakukan dan memastikan apa yang dirancang terus dilaksanakan.


"Kami akan berusaha untuk memastikan kami mempunyai sekumpulan besar rakyat Malaysia yang terlatih dalam tempoh tiga tahun akan datang yang mampu menerajui syarikat penerbangan ini menjelang 2030," kata Bellew.

Beliau berkata inisiatif pemulihan telah menunjukkan hasil dan bagi suku pertama (Januari hingga Mac 2016), petunjuk prestasi berada di landasan yang betul dengan hasil sehingga 23.4 peratus dan kos turun sebanyak 32.9 peratus.

Keuntungan sebanyak RM14 juta bagi suku pertama adalah yang pertama bagi syarikat penerbangan itu dalam tempoh beberapa tahun lepas. Pada masa lalu, pembaziran dan lebihan adalah perkara biasa di MAS.

Bellew berkata 'mengurangkan kos tidak bermakna menjejaskan keselamatan atau produk serta perkhidmatan kami'.


"Ia bermakna kita perlu meningkatkan produktiviti dan kecekapan, melabur dalam teknologi moden, mengadakan perkongsian yang memberi manfaat bersama di samping mengenal pasti dan mengurangkan risiko awal."

Tetapi, katanya, 'kami akan berhenti melakukan perkara-perkara yang akan menyebabkan kami kehilangan wang.'

"Banyak yang telah dilakukan, keuntungan pada suku lepas menunjukkan bahawa jurang kewangan antara pendapatan dan kos telah ditutup dengan ketara, memberitahu kita bahawa kita berada di trajektori yang betul.

"Kita perlu bergerak lebih cepat dan lebih agresif untuk mengekalkan momentum ini," katanya.
Tags / Kata Kunci: CEO MAS , Peter Bellew , KLIA2

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan