Rayani Air Arah Berhenti Kerja, Batal Surat Tamat Khidmat

Diterbitkan: Khamis, 30 Jun 2016 10:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Rayani Air menarik balik keputusan untuk mengeluarkan surat penamatan perkhidmatan, sebaliknya akan memberikan surat pemberhentian kerja kepada 415 kakitangannya.

Ia dibuat kerana menganggap  penamatan perkhidmatan itu lebih merujuk kepada pemecatan yang tidak akan memberi manfaat kepada pekerja syarikat penerbangan patuh syariah pertama negara itu.

Pengarah Kewangan dan Sumber Manusia Rayani Air, Datuk Karthiyani Govindan memberitahu mStar Online bahawa surat baharu iaitu pemberhentian kerja memberikan situasi menang-menang kepada semua pihak terutama pekerja.

Katanya, keputusan baharu itu juga dibuat selepas mendapat nasihat Jabatan Tenaga Kerja  (JTK).

"Syarikat merasakan surat penamatan khidmat itu tidak sesuai untuk pekerja kerana ia hanya memberi gambaran buruk kepada mereka. Syarikat hanya akan mengeluarkan surat seperti itu sekiranya ia melibatkan masalah disiplin atau salah laku.

"Oleh itu, syarikat memutuskan untuk mengeluarkan surat pemberhentian kerja berikutan syarikat tidak lagi beroperasi ketika ini.

"Surat itu akan memudahkan pekerja untuk memohon kerja di syarikat lain atau memohon bekerja semula dengan Rayani Air sekiranya syarikat kembali beroperasi pada masa akan datang," katanya.

Surat penamatan perkhidmatan yang tersebar pada Rabu.

Pada Rabu, mStar Online melaporkan salinan surat penamatan perkhidmatan tersebar di kalangan pekerja Rayani Air walaupun dokumen itu belum diserahkan secara rasmi kepada setiap kakitangan.

Difahamkan, salinan surat itu 'terbocor' selepas ia terlepas tangan kepada salah seorang bekas kakitangan, yang bertindak menyebarkan dokumen itu kepada pekerja lain.

Menurut surat bertarikh 28 Jun 2016 (Selasa), keputusan untuk menamatkan khidmat kakitangan syarikat itu dibuat selepas syarikat penerbangan patuh syariah pertama negara itu mengalami masalah kewangan sejak operasi dihentikan pada 8 April lalu.

Dokumen yang ditandatangani Karthiyani menyebut, masalah kewangan telah membawa kepada pembatalan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) dan Sijil Pengendali Udara (AOC) milik syarikat, mengakibatkan syarikat tidak lagi dibenarkan beroperasi berkuat kuasa 13 Jun lalu.

Surat tersebut menyebut: “Syarikat dengan dukatcita ingin memaklumkan mengenai perkhidmatan anda ditamatkan berkuat kuasa pada 10 April 2016. Gaji anda pada Mac 2016 dan April 2016 (pro-rata sehingga 10 April 2016) akan dibayar secepat mungkin.”

Menurut Karthiyani, selain memanfaatkan pekerjanya, surat 'versi baharu' itu juga akan memudahkan urusan pengambilan semula pekerja oleh pelabur yang akan mengambil alih syarikat itu, sekiranya ia dibenarkan untuk beroperasi semula.

Ditanya bilakah surat pemberhentian kerja akan diberikan kepada pekerja, Karthiyani menjangkakan ia dapat dibuat pada hari ini (Khamis).

"Saya telah menyiapkan surat untuk kira-kira 200 pekerja hari ini (Rabu), saya jangka dapat menghabiskan 215 lagi esok, sebelum ia diberikan kepada mereka," katanya.

Pada Selasa, Pengarah JTK Selangor, Mohd Asri Abd Wahab memberitahu portal berita ini, pihaknya akan menasihatkan pemilik Rayani Air untuk mengeluarkan surat penamatan perkhidmatan bagi memudahkan pekerja syarikat penerbangan itu memohon kerja di syarikat lain.

Rayani Air ketika ini berdepan dengan masalah tunggakan gaji pekerjanya yang dijanjikan diselesaikan sebelum Aidilfitri.

Walaupun pekerja menuntut tunggakan gaji selama tiga bulan iaitu Mac sehingga Mei tetapi menurut Mohd Asri, majikan Rayani Air hanya perlu melunaskan tunggakan bagi gaji Mac dan 10 hari pertama pada April.

Ia berikutan penggantungan operasi sementara Rayani Air oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA) pada 11 April lalu dan kemudiannya memutuskan syarikat penerbangan itu tidak lagi boleh beroperasi.

Pada 13 Jun lalu, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) membatalkan ASL bagi Rayani Air disebabkan oleh ia melanggar syarat lesen berkenaan, selain tidak mempunyai keupayaan kewangan dan pengurusan untuk terus beroperasi sebagai sebuah syarikat penerbangan komersial.

Ia diikuti pembatalan AOC oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA) selepas melakukan siasatan penuh ke atas pentadbiran dan audit keselamatan operasi syarikat itu.


Tags / Kata Kunci: Rayani Air , Datuk Karthiyani Govindan , JTK

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan