Bellew Akan Terajui MAS, Mueller Sertai Emirates?

Diterbitkan: Rabu, 29 Jun 2016 10:06 AM

Christoph Mueller (kiri) dan Peter Bellew.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Christoph Mueller mungkin berahsia tentang langkahnya yang seterusnya, selepas beliau mengumumkan untuk meninggalkan Malaysia Airlines Bhd (MAS), tetapi satu laporan telah muncul menyatakan bahawa beliau akan bersama syarikat penerbangan terbesar di dunia, Emirates.

Laporan itu, yang muncul dalam majalah yang diterbitkan di Jerman dan beberapa yang lain termasuk laman web BoardingArea, menyatakan bahawa Mueller akan menyertai Emirates sebagai ketua pegawai transformasi.


Laporan itu membuat spekulasi bahawa Mueller akan mengetuai strategi pendigitalan syarikat penerbangan berkenaan.

"Malaysia Airlines tidak akan mengulas mengenai spekulasi itu dan sebarang pertanyaan mengenai masa depan Mueller harus ditujukan kepada beliau," kata seorang jurucakap syarikat ketika dihubungi StarBiz.

Spekulasi telah bertiup kencang bahawa lembaga pengarah mungkin akan menamakan Peter Bellew sebagai individu yang akan menerajui syarikat penerbangan MAS apabila Mueller meninggalkannya pada 1 September ini.

"Kami menjangkakan pengumuman mengenai penggantian Mueller dibuat pada minggu ini," kata sumber berkenaan.

Seorang eksekutif syarikat penerbangan menambah bahawa 'mengumumkan penggantian harus menjadi keutamaan untuk menghentikan spekulasi yang tidak perlu dan sebarang usaha melobi'.

"Demi kepentingan kesinambungan, Bellew adalah orangnya. Beliau sudah arif dalam pengurusan sehari-hari syarikat penerbangan tersebut, mempunyai kepakaran dan pengalaman, dan pengetahuan yang luas tentang industri penerbangan.

"Meletakkan orang lain hanya akan merosakkan keadaan. MAS tidak perlukan gangguan-gangguan lain lagi."

Bellew dikatakan telah menandatangani surat tawaran, hanya menunggu beberapa kelulusan lain.

Bellew telah dilantik sebagai pengarah eksekutif selepas Mueller berkata beliau mahu meninggalkan MAS atas sebab-sebab peribadi.

Sehingga bulan lepas, Mueller telah berdiam diri mengenai langkah seterusnya, bagaimanapun laporan BoardingArea, walaupun tidak disahkan, telah mengejutkan ramai pihak dalam industri.

Mueller berkata beliau mahu meninggalkan MAS disebabkan oleh sebab-sebab peribadi.

Tetapi terdapat laporan bahawa beliau mahu berhenti kerana budaya dalam MAS dan beberapa keputusan telah diambil tanpa berunding dengannya.

Seorang eksekutif penerbangan berkata, "Untuk berlaku adil, Mueller dengan jelas mengetahui apa yang telah dilakukannya. Dia datang dengan pandangan yang terbuka luas....dia menerimanya, mengambil langkah-langkah drastik untuk menjadikan syarikat penerbangan itu terus beroperasi, tetapi perlu meninggalkannya sebelum tugasnya selesai. "

Apa pun sebabnya, Mueller telah membina nama untuk dirinya sendiri dalam industri sebagai seorang pakar transformasi dan tidak menghairankan apabila beliau menerima tawaran oleh Emirates.

Mueller bagaimanapun tidak bertindak balas terhadap pertanyaan daripada StarBiz.

Beliau memainkan peranan penting dalam mendapatkan Emirates menjadi rakan kongsi MAS, suatu keperluan untuk masa hadapan.

Langkah menjadikan Emirates sebagai rakan kongsi akan membantu dari segi jumlah trafik dan juga reputasi.

Terdapat juga kemungkinan satu 'permainan' lebih besar dirancang untuk Mueller di Emirates merujuk kepada BoardingArea yang berkata: "Presiden Emirates, Tim Clark, sudah berusia 66 tahun, jadi saya tidak akan terkejut jika Christoph Mueller yang berusia 54 tahun akhirnya akan menggantikan beliau. Dia cergas dan berkeadaan baik."

Tags / Kata Kunci: Christoph Mueller , MAS , Peter Bellew

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan