Hasrat Muhyiddin Tubuh Parti Baharu Tidak Beri Saingan Pada Umno

Diterbitkan: Selasa, 28 Jun 2016 11:30 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Rancangan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu meneruskan perjuangan politiknya dengan menyertai parti politik lain atau menubuhkan parti baharu tidak akan memberi saingan kepada UMNO, kata bekas perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

"Sokongan masih kuat...belum boleh sampai, kekuatan ada pada UMNO," katanya ringkas kepada pemberita selepas ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) di sini, Selasa malam.

Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi yang juga Penasihat GPMS Datuk Seri Idris Jusoh dan Presiden GPMS, Zambri Mohd Isa.

Pada Ahad lepas, Muhyiddin dalam satu sidang media bersama Datuk Mukhriz Mahathir menyatakan hasrat meneruskan perjuangan politik mereka menerusi platform politik baharu.

Bagaimanapun kedua-dua mereka tidak menyatakan secara terperinci mengenai platfom baharu itu, sama ada menyertai parti politik lain atau menubuhkan parti baharu.

Ditanya mengenai dakwaan Muhyiddin yang beliau sebenarnya seorang ahli yang setia pada parti, Abdullah berkata: "Sekiranya dia baik, dia akan tetap berada dalam UMNO," katanya.

Majlis Tertinggi UMNO pada Jumaat lepas membuat keputusan memecat Muhyiddin yang merupakan bekas timbalan presiden parti dan Mukhriz, bekas Menteri Besar Kedah.

Keputusan pemecatan itu dibuat kerana melanggar disiplin parti apabila kedua-dua pemimpin itu berada sepentas bersama pemimpin pembangkang dan menyerang kepimpinan parti.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan