Tunggakan Gaji Pekerja Rayani Air Dibayar Selepas Aidilfitri?

Diterbitkan: Selasa, 28 Jun 2016 10:25 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Kedatangan 1 Syawal hanya kira-kira seminggu lagi mungkin memberi kedukaan kepada pekerja Rayani Air yang sebahagian besarnya beragama Islam apabila tunggakan gaji mereka didakwa hanya akan dilunaskan selepas Aidilfitri.

Ia sekali gus mengecewakan kira-kira 400 pekerja Rayani Air yang selama ini berharap gaji yang tertunggak diselesaikan sebelum Aidilfitri, sebagaimana yang dijanjikan oleh pemilik syarikat penerbangan itu.

Difahamkan, gaji tertunggak adalah selama tiga bulan sejak Mac lalu berjumlah kira-kira RM4.5 juta.

Menurut sumber kepada mStar Online, wakil Rayani Air mengadakan pertemuan bersama pihak Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Selangor pada Isnin berkaitan aduan pekerja mengenai tunggakan gaji yang dibuat kepada jabatan di bawah Kementerian Sumber Manusia itu.

Difahamkan, mengikut salah satu 'perjanjian bersama' antara pekerja dan Rayani Air dan keputusan Mahkamah Buruh, syarikat penerbangan itu perlu membuat bayaran kepada pekerja terbabit sebelum 30 Jun (Khamis).

Dalam pertemuan itu, sumber mendakwa, wakil Rayani Air telah memohon kepada JTK untuk penangguhan bayaran tunggakan gaji pekerja dan tempoh diberikan adalah sehingga 14 Julai.

"Ini bermakna Rayani Air perlu menyelesaikan tunggakan gaji sebelum 15 Julai. Rayani Air mungkin akan dapat bayar gaji pekerja selepas Aidilfitri," dakwanya kepada mStar Online pada Isnin.

Sumber mendakwa, pada masa ini Rayani Air mengutamakan penyelesaian bayaran balik tambang penumpang ekoran penggantungan dan kemudiannya pemberhentian operasi syarikat penerbangan itu.

Ia dibuktikan dengan pengumuman mengenai bayaran balik tambang, dimuat naik di akaun rasmi Facebook Rayani Air pada Isnin.

"Pada masa ini, syarikat mahu menyelesaikan bayaran balik tambang penumpang terlebih dahulu, dan kemudian barulah menyelesaikan masalah tunggakan gaji," dakwanya.

Sementara itu, pemilik dan Ketua Pegawai Eksekutif Rayani Air, Ravi Alagendrran menafikan dakwaan mengenai gaji pekerja yang tertunggak hanya dapat diatasi selepas Aidilfitri.

Beliau bagaimanapun mengesahkan pertemuan antara wakil syarikatnya bersama pihak JTK Selangor pada Isnin berhubung isu gaji pekerja.

"Saya tak pasti apa yang dibincangkan kerana saya belum masuk pejabat (bertemu dengan wakil syarikat)," katanya.

Menurut Ravi, beliau sedang berusaha untuk menyelesaikan masalah tunggakan gaji pekerjanya, seperti yang dijanjikan sebelum Aidilfitri.

"Apa cara sekalipun, saya yakin dapat menyelesaikannya sebelum hari raya. Saya pun kasihankan mereka (pekerja), saya akan usahakan," tegas Ravi.

Mengenai bayaran balik tambang penumpang, Ravi berkata, ia bukan dilaksanakan pada Isnin, tetapi sejak Rayani Air digantung operasi sementara oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA) pada 11 April lalu.

Dalam pada itu, Pengarah JTK Selangor, Mohd Asri Abd Wahab memberitahu mStar Online bahawa pihaknya tidak menetapkan sebarang tempoh kepada Rayani Air untuk melunaskan tunggakan gaji pekerjanya.

"Tetapi tempoh penyelesaian itu bergantung kepada keputusan Mahkamah Buruh, susulan aduan yang dibuat oleh pekerja kepada JTK.

"Jika Rayani Air gagal memenuhi tempoh yang diberikan berdasarkan keputusan Mahkamah Buruh, kita akan bawa kes berkenaan ke mahkamah luar (sivil)," katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas ketika ditanya adakah wakil Rayani Air telah memohon kepada JTK untuk penangguhan bayaran tunggakan gaji semasa dalam pertemuan itu.

Pada 25 Mei lalu, Rayani Air memberi jaminan bahawa pembayaran balik tambang penumpang dan tunggakan gaji pekerja akan diselesaikan sebelum Aidilfitri.

Bagaimanapun, pembatalan lesen perkhidmatan udara  (ASL) oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) ke atas Rayani Air baru-baru ini sekali gus tidak membenarkan syarikat penerbangan itu beroperasi kembali.

Tanpa 'lampu hijau', ia sukar bagi Rayani Air untuk mendapatkan pelabur baharu untuk suntikan modal termasuk melunaskan tunggakan gaji berikutan pelabur yang 'hampir dimuktamadkan' itu dipercayai telah menarik diri susulan pembatalan ASL.

Tags / Kata Kunci: Rayani Air

iklan

Video

Selasa, 26 September 2017 10:30 AM

Bakat Namron Ditidakkan?

Selasa, 26 September 2017 7:16 AM

Inilah Fesyen Artis Sempena FFM29

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Kolumnis

iklan

Iklan