"Tolong Kami, Bantu Kami" - Rumah Asnaf Al Barakh

Diterbitkan: Jumaat, 24 Jun 2016 2:30 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Suasana Rumah Amal Asnaf Al Barakh, Taman Sepakat, Ampang sekitar pukul 10 pagi sunyi. Kebanyakan penghuninya yang terdiri daripada anak-anak asnaf sudah dihantar ke sekolah.

Sejurus muncul di pagar dua orang anak kecil berjalan masuk. Alia dan adiknya Ammar, masing-masing berusia empat tahun dan setahun lebih.

"Ibu mereka hantar tu," seorang pekerja wanita memberitahu penulis sambil tangannya menyidai pakaian.

Sedang Alia yang bertudung merah jambu berjalan masuk ke rumah, adiknya Ammar bermain-main di tepi pagar. Seketika datang seorang lagi anak yang berusia setahun lebih, Omar menyertai Ammar bermain di tepi pagar.

Apabila penulis menegur banyaknya pakaian yang perlu disidai, pembantu wanita itu menjawab, "perlu empat kali pusingan cuci."

Secara keseluruhannya terdapat 47 (20 perempuan, 27 lelaki) orang penghuni di Rumah Asnaf, rumah banglo setingkat. Penghuni paling muda berusia setahun lebih iaitu Ammar dan Omar dan yang paling tua berusia 18 tahun.

Anak-anak ini datang daripada pelbagai latar belakang seperti fakir miskin, anak terbiar dan anak yatim serta piatu.


BERPINDAH-RANDAH

Sebelum berpindah ke Taman Sepakat, rumah untuk anak-anak asnaf ini di bawah kelolaan Pertubuhan Kebajikan Asnaf Al Barakh Malaysia (PKAABM) pertama kalinya beroperasi di Telok Datok, Banting pada Januari 2010.

"Usaha menubuhkan rumah asnaf ini bermula apabila kami mendapat tahu ada seorang ibu tunggal yang mempunyai tujuh orang anak di Banting yang sering diganggu ahlong. Di samping anak-anak ibu tunggal itu, ada beberapa orang kawan anak-anak itu.

"Kami dapat tahu sewa rumah pun sudah berbulan tidak dapat dibayar. Bekalan makanan pun hampir tiada. Apabila saya dapat menemui ibu tunggal ini, saya menawarkan untuk membantu.

"Saya suruh ibu tunggal itu mencari rumah di sekitar kawasan Banting yang boleh didiaminya dengan anak-anaknya," Yusof Noor, Timbalan Presiden PKAABM memberitahu Bernama.

Dari Telok Datok, rumah asnaf ini berpindah ke sebuah rumah yang lebih besar di Taman Cenderawasih, Kampung Olak Lempit, Banting yang dapat menampung sekitar 60 anak asnaf.

Selepas tiga tahun, rumah asnaf ini terpaksa dikosongkan kerana diambil balik tuan tanah.

"Kami berpindah ke Taman Bukit Lela, Gombak tetapi selepas enam bulan, atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, kami terpaksa berpindah lagi ke lokasi sekarang," kata Yusof.

Menurut beliau, keadaan berpindah-randah menjadikan pihaknya mengalami kesukaran untuk memohon lesen operasi daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Antara syarat yang dikenakan ialah operasi mesti kekal di satu tempat sekurang-kurangnya dua tahun," kata Yusof sambil menambah pihaknya berharap dapat kekal tinggal di lokasi sekarang ini supaya dapat memenuhi syarat kelulusan JKM.


PERLU PEMBIAYAAN

Mengenai perbelanjaan mengurus rumah asnaf itu, Yusof berkata pihaknya bergantung sepenuhnya kepada sumbangan serta ehsan orang ramai di samping sumbangan Pusat Zakat yang diperoleh sekali setahun.

"Purata perbelanjaan sebulan sekitar RM29,000. Pusat zakat ada beri bantuan, tahun lepas kami dapat RM5,000.

"Di samping wang, ada juga yang datang membawa makanan dan barangan keperluan dapur. Kami juga bersyukur kerana Klinik Iman yang berhampiran rumah ini memberi kemudahan rawatan percuma untuk anak-anak asnaf ini," kata Yusof.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang berusaha mengumpul dana untuk membeli rumah yang digunakan sebagai rumah asnaf sekarang. Pada masa ini rumah itu disewa dengan bayaran RM2,000 sebulan.

"Tuan rumah mahu menjual rumah ini dengan harga RM800,000. Kami mahu membelinya dan tuan rumah bermurah hati memberi kami tempoh dua hingga tiga tahun untuk mengumpul dana untuk membeli rumah ini.

"Kalau tidak dapat jumlah itu, kami boleh letak deposit 30 peratus dan perjanjian boleh ditukar kepada sewa beli," kata Yusof.

Bagi menarik orang ramai menyumbang kepada pembelian rumah tersebut, Yusof berkata pihaknya memperkenalkan saham wakaf, kaedah untuk menggalakkan masyarakat berwakaf dan untuk keperluan rumah asnaf ini ia adalah dalam bentuk wakaf tunai.

"Kaedahnya dengan cara membeli unit saham yang ditawarkan oleh PKAABM dan mewakafkan unit-unit saham kepada PKAABM.

"Kadar penyertaan RM10 seunit dan tidak ada kadar maksimum," kata Yusof.

Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai saham wakaf ini boleh menelefon Yusof di nombor 017-2474550.

Yusof berkata, pihaknya juga memerlukan bantuan untuk kerja-kerja pembaikan di rumah itu termasuk menambah bilik air di samping kenderaan baru untuk keperluan pengangkutan anak-anak.

Beliau juga mengalu-alukan mana-mana pihak yang mahu menaja pembayaran bil elektrik dan bil air. Menurut beliau semua sumbangan dikecualikan cukai 100 peratus.


SEKOLAH BIMBINGAN JALINAN

Sementara itu, Mariam Miskan, ketua warden asrama Rumah Asnaf Al Barakh memberitahu Bernama, sekitar 20 anak asnaf dihantar ke Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih di Kampung Baru.

Anak-anak itu berusia antara 8 hingga 16 tahun dan boleh dikatakan kebanyakannya buta huruf.

"Sudah tiga bulan anak-anak itu bersekolah di situ dan nampak mereka telah dapat menyesuaikan diri.

"Kami hantar anak-anak asnaf itu ke sekolah itu kerana mereka tidak mempunyai dokumen rasmi untuk memasuki sekolah kerajaan," kata Mariam yang mesra dipanggil "Ibu Mariam". Lima orang anaknya turut tinggal di rumah asnaf itu.


ADA CITA-CITA

"Anak-anak ini minat belajar dan mereka ada keyakinan diri untuk belajar," kata Ibu Mariam sambil memanggil dengan suara yang lembut seorang anak perempuan supaya duduk di sebelah saya.

Anak yang berusia 14 tahun ini bernama Laila.

Menurut Ibu Mariam, Laila seorang anak yang terang hati cuma tidak dapat dihantar ke sekolah kerajaan kerana tidak mempunyai kad pengenalan diri.

Pihaknya kini sedang mengusahakan untuk memohon kad pengenalan diri bagi anak-anak yang sudah mencapai umur untuk memiliki kad pengenalan.

Berbual singkat dengan Laila, ternyata anak ini tahu apa yang diingini dalam hidupnya di sebalik hakikat dia dan adik lelakinya, Fazli, tinggal di rumah anak asnaf.

"Saya mahu jadi doktor. Kalau adik sakit tak perlu pergi hospital. Saya boleh jaga," kata Laila apabila ditanya tentang cita-citanya. Dia gemar subjek Matematik dan Bahasa Inggeris.

Sebelum tinggal di rumah anak asnaf pada tahun 2015, dia dan adiknya tinggal bersama emak angkat. Ibu kandungnya meninggalkan Laila dan Fazli dengan emak angkatnya itu ketika mereka masih kecil dan kemudian menghilangkan diri tanpa dapat dikesan sehingga kini.

Penulis sempat berbual dengan seorang lagi anak asnaf, Muhammad Izzat Zikri, 13 tahun yang sudah dua tahun tinggal di rumah asnaf itu.

"Saya mahu jadi askar. Saya suka pakaian seragam," ini cita-cita Izzat yang masih mempunyai ibu bapa tetapi tidak mampu untuk menjaga anak mereka.

Izzat mengakui dia tidak berapa cemerlang dalam pelajaran tetapi bertekad akan bersungguh-sungguh belajar.

"Saya mahu kerja, boleh beli rumah dan bawa emak ayah saya tinggal dengan saya," kata Izzat yang menambah dia pasti teringat emak dan ayahnya pada waktu malam apabila hendak tidur.

Tags / Kata Kunci: Rumah Amal Asnaf Al Barakh

iklan

Video

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Kolumnis

iklan

Iklan