Pesawat 'Ditarik', Nasib Juruterbang Eaglexpress Jadi Tanda Tanya

Diterbitkan: Jumaat, 24 Jun 2016 11:37 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Nasib sekumpulan juruterbang Eaglexpress kini menjadi tanda tanya susulan insiden sebuah pesawat yang digunakan oleh syarikat penerbangan itu telah diambil semula oleh penyewanya, baru-baru ini.

Difahamkan, insiden itu hanya memberi kesan kepada juruterbang yang mengendalikan pesawat Airbus A330 berikutan ia merupakan satu-satunya pesawat yang digunakan Eaglexpress ketika ini selain tiga pesawat Boeing 747.

Menurut jurucakap Eaglexpress kepada mStar Online, pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan sekumpulan juruterbang A330 pada minggu lalu bagi menjelaskan kedudukan susulan insiden itu.

"Kita telah memaklumkan kepada mereka tentang penstrukturan semula yang bakal dibuat dan mereka akan ditawarkan untuk menjadi juruterbang bagi pesawat 747.

"Ini bermakna mereka perlu menjalani latihan mengendalikan pesawat 747.

"Pilihan setakat ini adalah menawarkan mereka sama ada terus berkhidmat sebagai juruterbang 747 atau ditamatkan perkhidmatan dengan pampasan," katanya kepada mStar Online.

Pada Khamis, mStar Online mendedahkan pesawat A330 yang digunakan oleh Eaglexpress telah diambil semula oleh penyewanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 7 Jun lalu.

Ia mengakibatkan lebih 300 jemaah yang mahu berlepas ke Jeddah untuk mengerjakan umrah terkandas, dan diterbangkan menggunakan pesawat 747 pada hari berikutnya.

Jurucakap Eaglexpress berkata, syarikat akan mengeluarkan surat pemberitahuan secara rasmi berhubung tawaran itu kepada juruterbang secepat mungkin.

Bagaimanapun menurut sumber kepada mStar Online, 'penstrukturan semula' tersebut mendapat bantahan daripada beberapa juruterbang A330 yang menyifatkan ia sebagai kata dua buat mereka.

"Saya diberitahu oleh juruterbang A330 bahawa keengganan mereka disebabkan oleh pasaran bagi A330 lebih bernilai berbanding 747. Jenis pesawat dan prospek kerjaya berhubung kait, jadi antara mereka melihat penghijrahan itu bukan satu keputusan bijak," katanya.

Tambah sumber, juruterbang turut mempersoalkan sama ada mereka akan diberikan gaji sepanjang tempoh latihan itu, terutama ketika ini syarikat masih tidak melunaskan tunggakan gaji selama dua bulan.

"Apa yang saya diberitahu oleh juruterbang, mereka mengharapkan supaya pampasan yang diberikan setimpal dengan kontrak dan situasi yang berlaku," jelas sumber sambil menambah terdapat kira-kira 10 juruterbang A330 yang berkhidmat dengan Eaglexpress.

Terdahulu, jurucakap Eaglexpress mengesahkan insiden jemaah terkandas akibat pesawat diambil semula oleh penyewanya.

Ditanya adakah ia disebabkan kegagalan syarikat membayar sewa pesawat seperti yang didakwa, jurucakap itu menyifatkannya sebagai ‘penamatan kontrak lebih awal yang tidak dijangka antara kedua pihak’.

Terdahulu, pada Isnin, mStar Online mendedahkan sebuah syarikat penerbangan carter gagal membayar gaji pekerjanya termasuk tidak membuat caruman KWSP dan Perkeso.

Eaglexpress mengakui tunggakan gaji berlaku disebabkan syarikat itu mengalami masalah kewangan sejak Februari lalu, tetapi masih membuat 'sebahagian bayaran kepada sebahagian pekerja'.

Eaglexpress pada Selasa lalu memberi jaminan untuk melunaskan tunggakan gaji pekerjanya seawal-awalnya minggu depan, iaitu sebelum Aidilfitri, susulan perniagaan syarikat penerbangan itu kembali normal.

Tags / Kata Kunci: Eaglexpress , A330

iklan

Video

Khamis, 24 Ogos 2017 12:38 PM

Wan Sharmila Kena 'Badi' Cinta

Khamis, 24 Ogos 2017 9:00 AM

Susunan Lagu Dari Sweden Gagal Takluk Persis

Rabu, 23 Ogos 2017 3:00 PM

Shuib Sepahtu 'Kuat' Cari Duit!

Rabu, 23 Ogos 2017 12:00 PM

Ayda Jebat Impi 'Mata' Tercalon Anugerah

Rabu, 23 Ogos 2017 9:00 AM

Keghairahan Shahrol Shiro Makan Diri?

Selasa, 22 Ogos 2017 12:00 PM

Sakan! Shiha Zikir Kini Hidup Mewah

Selasa, 22 Ogos 2017 9:00 AM

Tania Hudson Tak jangka Kembali Aktif

Isnin, 21 Ogos 2017 12:59 PM

Hafiz Tak Mengaku Saya Isteri - Joy Revfa

Isnin, 21 Ogos 2017 9:00 AM

#BiziBody: Syafiq Kyle Pentingkan Penampilan

Kolumnis

iklan

Iklan