Lantikan Abu Kassim Ke IACA, Iktiraf Usaha Kerajaan Banteras Rasuah

Diterbitkan: Jumaat, 24 Jun 2016 8:20 PM

Abu Kassim Mohamed.

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Pelantikan Tan Sri Abu Kassim Mohamed sebagai pakar jemputan di International Anti-Corruption Academy (IACA) merupakan satu pengiktirafan kepada usaha kerajaan dalam pembanterasan rasuah di negara ini, kata Ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Datuk Seri Azman Ujang.

Beliau berkata, pelantikan itu juga dilihat tepat pada masanya berikutan kesungguhan dan ketegasan Abu Kassim dalam kepimpinan sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak 2010.

Beliau berkata, program pendidikan masyarakat di semua peringkat termasuk sekolah, agensi serta badan kerajaan dan sektor korporat merupakan antara usaha pembanterasan rasuah sepanjang perkhidmatan Abu Kassim.

"Program menyeluruh ini dilihat menjadi teras kepada perlaksanaan pencegahan rasuah secara efektif dalam mewujudkan sokongan masyarakat untuk membenci jenayah rasuah," katanya dalam kenyataan di sini, Jumaat.

Azman, yang juga Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) berkata, IACA yang diwujudkan oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu mendapat pengiktirafan daripada Pejabat Pencegahan Penipuan Eropah (OLAF) dan 67 negara seluruh dunia.

"Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan atas khidmat Tan Sri (Abu Kassim) sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM dan selamat maju jaya kepada khidmat baharunya di peringkat antarabangsa," katanya.

Seorang lagi ahli LPPR, Tan Sri Dr Hadenan Abdul Jalil berkata, Abu Kassim telah berjaya menterjemahkan kepimpinannya ketika Badan Pencegah Rasuah dipertingkat menjadi sebuah suruhanjaya pada 2008 dan dilantik menerajui SPRM pada 1 Januari 2010.

"Sejak itu, SPRM dilihat berjaya melaksanakan pelbagai transformasi dan penambahbaikan struktur organisasi, penguatkuasaan serta pendidikan dalam melahirkan masyarakat serta jentera kerajaan yang lebih berintegriti.

"Pelantikan ini satu pengiktirafan kepada usaha kerajaan Malaysia dan kepimpinan yang diterjemahkan Tan Sri Abu Kassim sepanjang khidmatnya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM," katanya.

Datuk Mohd Noor Abdullah yang juga ahli LPPR berpendapat legasi serta kepimpinan yang ditinggalkan oleh Abu Kassim perlu diteruskan kerana beliau berjaya membawa SPRM ke peringkat lebih tinggi sejak SPRM ditransformasikan daripada sebuah badan kepada suruhanjaya yang bebas dan telus.

"SPRM akan kehilangan seorang pemimpin yang cemerlang yang menerapkan pengendalian kes secara lebih efektif melalui penstrukturan bahagian penguatkuasaan dan pencegahan.

"Antaranya, dengan menerapkan keupayaan forensik ke peringkat lebih profesional. Sudah tentu, pelantikan beliau ini satu pengiktirafan kepada segala usaha beliau ketika berkhidmat di SPRM," katanya. 

Sambil mengucapkan tahniah, Tan Sri Musa Hassan, seorang lagi Ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah berkata, pelantikan Abu Kassim ke peringkat antarabangsa sekali gus membuktikan kualiti pegawai penguatkuasaan di negara ini turut diiktiraf dunia.

Katanya, penyertaan ke IACA merupakan satu landasan serta contoh kepada pegawai lain dalam agensi penguatkuasaan di negara ini untuk turut mengikut jejak langkah Abu Kassim yang cemerlang.

"Pengalaman serta kepimpinan Tan Sri Abu Kassim pasti akan dapat dikongsi melalui pendekatan pendidikan dan pencegahan rasuah holistik yang dipraktikkan ketika menerajui SPRM," katanya.

Musa turut berharap Abu Kassim akan terus menyumbang tenaga kepada aktiviti pencegahan rasuah di negara ini.

Bagi Tan Sri Dr Michael Yeoh Oon Kheng pula Abu Kassim berjaya mencapai misinya dengan menjadikan SPRM sebagai sebuah agensi pencegahan rasuah bertaraf dunia, sekali gus dibuktikan dengan pelantikan itu.

"Ini adalah satu kejayaan besar bukan sahaja kepada SPRM malah kepada kerajaan Malaysia yang sentiasa berusaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara tumpuan perniagaan berteraskan integriti.

"Selain jadikan masyarakat Malaysia bebas daripada rasuah, Abu Kassim turut meneruskan misi menjadikan SPRM sebagai sebuah organisasi yang dinamik dan progresif melalui pembangunan kapasiti dan keupayaan berterusan," kata Yeoh yang juga ahli LPPR. - Bernama

Tags / Kata Kunci: Abu Kassim Mohamed , SPRM

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan