Jenazah Bill Kayong Selamat Dikebumikan

Diterbitkan: Jumaat, 24 Jun 2016 5:52 PM

Jenazah Bill Kayong sebelum dibawa ke masjid untuk solat jenazah ke atas beliau. Foto Zulazhar Sheblee/ THE STAR

(Ubah saiz teks)

MIRI: Ahli politik dari parti komponen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang hadir pada upacara pengebumian Bill Kayong pada Jumaat bagi memberi penghormatan terakhir kepada aktivis Miri itu.

Antara yang hadir merupakan pemimpin tertinggi dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), PKR, DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan PAS bersama yang lain di kediaman keluarga Allahyarham Kayong di Desa Senadin dekat sini.

Upacara pengebumian disempurnakan pada tengah hari.

Kayong mati ditembak di persimpangan lampu isyarat dekat Pusat Komersial E-Mart di Kuala Baram pada pagi Selasa lalu.

Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chien Jen dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar pada sidang media berasingan mendakwa bahawa pembunuhan kejam ke atas Kayong yang merupakan Setiausaha PKR Miri mempunyai kaitan dengan perjuangannya yang berterusan dalam isu pertikaian tanah Orang Asli di utara Sarawak.

Chien Jen berkata, polis perlu menumpukan isu pertikaian tanah yang dikendalikan Kayong sebelum beliau ditembak mati.

"Saya juga menggesa kerajaan negeri melihat isu tanah Orang Asli secara serius dan tidak sekadar berjanji sahaja," dakwanya.

Nurul Izzah berkata, keadaan yang berlaku kepada Kayong menunjukkan betapa seriusnya isu pertikaian tanah Orang Asli di Sarawak.

"Pertikaian tanah Orang Asli telah lama berlaku selama beberapa dekad. Gangguan dan ancaman terhadap Orang Asli dan aktivis juga berlaku sejak lama. Semua ini memungkinkan kepada keadaan yang tragik.

"Kerajaan negeri perlu melakukan sesuatu dengan segera bagi menangani isu tanah Orang Asli," dakwanya.

Tags / Kata Kunci: Bill Kayong

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan