Nufam Beri Kata Dua Isu Gaji Eaglexpress

Diterbitkan: Khamis, 23 Jun 2016 9:28 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (Nufam) memberi kata dua kepada Eaglexpress Air Charter Sdn Bhd (Eaglexpress) berhubung isu tunggakan gaji pekerja syarikat penerbangan itu.

Selain mengenai gaji tertunggak, tuntutan turut membabitkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), membabitkan kira-kira 300 pekerja.

Nufam menerusi kenyataan rasmi kepada mStar Online mendesak Eaglexpress supaya menyelesaikan kesemua tuntutan atau menghentikan operasi sehingga isu berkenaan diselesaikan.

"Kesatuan ingin mendesak pihak pengurusan membayar semua bayaran gaji, caruman KWSP dan Perkeso pekerja ‎serta-merta atau syarikat digesa menghentikan operasi mereka sehingga kes ini selesai dan semua kru kabin menerima gaji dan caruman tunggakan mereka.

"Jangan letakkan pekerja ini dalam keadaan yang lebih susah dan membahayakan keselamatan diri mereka," kata kesatuan itu dalam kenyataan pada Khamis.

Nufam mendakwa isu tunggakan gaji bukan pertama kali berlaku dalam Eaglexpress kerana aduan yang sama telah dibuat kepada syarikat tersebut pada 2013.

"Ramai di antara pekerja ini telah mengadu kepada pihak kesatuan dengan menyatakan mereka kerap tidak dibayar gaji atau lambat menerima gaji mereka serta caruman KWSP dan Perkeso juga gagal dicarum oleh pihak syarikat sejak 2015," katanya.

Nufam juga mempersoalkan alasan pihak pengurusan bahawa isu yang berlaku disebabkan masalah kewangan, malah menyifatkan tindakan syarikat membuat sebahagian pembayaran sebagai tidak munasabah.

"Bagaimana kos operasi boleh ditanggung oleh syarikat jika mereka tidak mempunyai duit?" menurut kenyataan kesatuan itu sambil menegaskan bahawa syarikat penerbangan yang beroperasi luar negara perlu mengikut peraturan dan undang-undang sedia ada.

Menurut Nufam, pihak pengurusan Eaglexpress telah melanggar syarat kontrak bersama pekerja sehingga aduan dibuat kepada pihak penguatkuasa mengikut Akta Kerja.

Tambah Nufam, kegagalan Eaglexpress membuat caruman Perkeso bermaksud semua pekerjanya dikelaskan sebagai 'tidak selamat' apabila masih bekerja dengan syarikat penerbangan itu.

"Kru kabin juga mengalami risiko amat tinggi jika berlakunya sebarang insiden kemalangan semasa bertugas kerana caruman Perkeso pekerja tidak dibuat.

"Tindakan seperti 'stop work'‎ dan juga lesen syarikat boleh ditarik jika berlakunya insiden kemalangan," katanya.

Sehubungan itu, Nufam berharap pihak pengurusan Eaglexpress tidak mengambil remeh isu sebegini kerana tanggungjawab besar mereka terhadap kru kabin.

"Bayangkan Aidilfitri yang bakal menjelma dan pekerja-pekerja ini masih tidak mendapat gaji mereka.

"Bagaimana keluarga dan anak anak pekerja ini hendak meraikan perayaan tahun ini tanpa sebarang gaji daripada syarikat? Nak makan apa pekerja dan keluarga mereka ini semua?" soal Nufam.

Terdahulu, pada Isnin, mStar Online mendedahkan sebuah syarikat penerbangan carter gagal membayar gaji pekerjanya termasuk tidak membuat caruman KWSP dan Perkeso.

Eaglexpress kemudiannya tampil mengakui tunggakan berlaku disebabkan syarikat itu mengalami masalah kewangan selama beberapa bulan sejak Februari lalu.

Bagaimanapun ia masih membuat 'sebahagian bayaran kepada sebahagian pekerja' berdasarkan permintaan dan keperluan pekerja, berikutan sumber kewangan syarikat yang terhad.

Eaglexpress pada Selasa lalu memberi jaminan untuk melunaskan tunggakan gaji pekerjanya seawal-awalnya minggu depan, iaitu sebelum Aidilfitri, susulan perniagaan syarikat penerbangan itu kembali normal.

Eaglexpress merupakan syarikat penerbangan carter yang berpangkalan di Kuala Lumpur bagi perkhidmatan jemaah umrah dan haji sejak 2012. Antara penerbangannya ke Arab Saudi adalah dari Malaysia, Indonesia, Afrika Utara dan Timur Tengah.

Tags / Kata Kunci: Eaglexpress

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan