Daripada Mat Rempit Kepada Militan IS

Diterbitkan: Rabu, 22 Jun 2016 9:58 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Azman (bukan nama sebenar) pernah mempunyai minat yang mendalam dalam aktiviti menunggang motosikal secara membahaya.

Sebagai seorang bekas mat rempit yang banyak menghabiskan masanya dengan hobi berkenaan, Azman juga sanggup berhabis ribuan ringgit untuk membeli topi keledar.

Bagaimanapun dia kemudiannya "bertaubat" dan menemui fasa baharu dalam kehidupannya.

Dia akhirnya cuba memasuki Syria untuk berjuang bersama militan Negara Islam (IS).

Individu berusia 29 tahun dari Tanjung Karang itu cuba memasuki Syria dari Turki pada Julai lalu namun dihalang berbuat demikian oleh polis Turki.

Dia adalah antara 14 orang yang ditahan pada Mei lalu kerana mempunyai kaitan dengan IS.

Seramai 193 militan telah ditangkap sejak Februari 2013.

Seorang kawan rapat Azman yang hanya mahu dikenali sebagai Sam berkata, dia pernah mempunyai motorsikal Yamaha RXZ dan mempunyai beberapa koleksi topi keledar dengan yang paling mahal menelan kos lebih daripada RM10,000.

"Hampir setiap malam, dia akan keluar dengan kawan-kawannya menunggang motosikal dan hanya akan kembali pada awal pagi," kata Sam.

Sam terputus hubungan dengan Azman sejak sekolah menengah tetapi pasangan itu kembali bertemu empat tahun lalu apabila Sam mengupah kawannya itu untuk bekerja sebagai mekanik di sebuah bengkel kereta di Petaling Jaya.

Pada masa itu, Azman yang berasal dari keluarga miskin baharu sahaja diberhentikan dari kerja sebagai juruteknik di sebuah syarikat penerbangan tempatan.

"Azman adalah seorang pekerja yang berdedikasi, cekap dan jujur ​​yang amat berharga kepada syarikat," kata Sam.

Kira-kira setahun kemudian, Sam mulai menyedari perubahan Azman.

Kata Sam, Azman menjadi insan yang lebih dekat dengan agama dan banyak menghabiskan banyak masa di masjid.

Azman juga sudah tidak lagi menghabiskan masanya bersama motosikal.

"Terdapat perubahan drastik dalam diri Azman. Malah dia juga berdoa supaya saya tidak lagi terlibat dengan wanita dan minuman keras," kata Sam.

Azman berpindah tempat kerja di bengkel lain dua tahun lalu walaupun mereka masih berhubung.

Awal tahun lepas, Sam berkata Azman menjual motosikal dan aksesorinya.

Tambah Sam pada masa sama Azman mula bercakap tentang jihad dan perjuangan bersenjata.

Sam percaya bahawa Azman telah bertindak radikal selepas terpengaruh di Internet terutamanya melalui orang yang ditemuinya di Facebook.

Sekitar Julai tahun lepas iaitu semasa musim hari raya, Azman tiba-tiba hilang.

Sam diberitahu oleh rakan mereka bahawa Azman mungkin pergi ke Syria.

Ternyata Azman telah menempah tiket pergi balik ke Istanbul dan membayar penginapan untuk dua minggu bagi mengelak dikesan daripada pihak berkuasa Turki.

Azman pergi ke Turki dengan seorang rakan dari Malaysia, kata Sam.

Dari Istanbul mereka mengambil penerbangan ke kota Adana di mana mereka telah dijemput.

Mereka telah dibawa ke sebuah banglo di mana mereka tinggal dengan beberapa yang lain dari seluruh dunia.

Selepas beberapa hari, mereka yang dalam perjalanan ke Gaziantep yang bersempadan dengan Syria dengan menaiki kenderaan MPV ketika pihak polis menahan mereka.

Semua yang berada di dalam kereta itu dibawa ke lokap.

Selepas menghabiskan beberapa hari dalam tahanan, Azman dan rakannya dibenarkan untuk meninggalkan Turki kerana mereka mempunyai tiket pulang.

Sebelum meninggalkan lokap, Azman memberikan wang berjumlah  US$4,000 (RM16,400) kepada orang lain yang masih terperangkap dalam tahanan, kata Sam.

Azman tidak ditangkap semasa ketibaan pulang ke Malaysia dan dia memberitahu Sam segala yang berlaku.

Sam memberikan Azman pekerjaan di bengkel sendiri di Tanjung Karang supaya dia boleh melupakan semua yang berlaku kepadanya.

Bagaimanapun, Azman telah ditahan pihak polis. Sam percaya rakannya itu adalah seorang yang baik dan boleh berubah.

"Dia bukan seorang yang jahat. Dia hanya tersilap langkah. Dia beritahu saya bahawa dia mahu berubah," kata Sam.

Tags / Kata Kunci: Militan IS , Negara Islam

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan