CAP Sokong Usaha Kementerian Kesihatan Mahu Kenakan Cukai Minuman Bergula

Diterbitkan: Selasa, 21 Jun 2016 6:20 PM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyokong penuh cadangan Kementerian Kesihatan mahu mengenakan cukai ke atas minuman bergula.

Presidennya S.M Mohamed Idris berkata langkah itu akan menerima bantahan daripada orang ramai secara amnya tetapi langkah itu perlu kerana pendekatan seperti mengadakan ceramah tentang bahaya gula berlebihan kurang berkesan.

"Rakyat Malaysia sepatutnya mengurangkan pengambilan gula mereka sebanyak 80 peratus untuk kekal sihat dan usaha oleh Kementerian Kesihatan amat dialu-alukan untuk memastikan rakyat Malaysia sihat.

"Rakyat Malaysia mengambil kira-kira 29 sudu teh gula setiap hari, iaitu  4.8 kali lebih tinggi daripada dicadangkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), iaitu hanya enam sudu teh setiap hari," katanya di pejabat CAP di sini Selasa.

Idris berkata mengikut statistik Persekutuan Diabetes Antarabangsa (IDF), pada 2015, kira-kira 3.3 juta rakyat Malaysia menghidap diabetes, dengan jumlah perbelanjaan perubatan mencecah RM7 bilion.

Pada 16 Jun, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya memberitau sidang Dewan Negara bahawa kementerian merancang mengenakan cukai ke atas minuman bergula dalam usaha menangani diabetes dan obesiti di negara ini.

Malaysia akan mengikut langkah Britain, Mexico, Chile, Finland, Perancis dan Hungary yang mengenakan cukai itu untuk menangani diabetes dalam kalangan rakyatnya.

Sistem percukaian itu akan dirangka sebagai mekanisme baharu dalam Pelan Tindakan Pemakanan Kebangsaan III bagi 2016-2025. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan