Peniaga Bazar Ramadan Diminta Tidak Jual Makanan Basi

Diterbitkan: Isnin, 20 Jun 2016 10:08 PM

(Ubah saiz teks)

LARUT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) meminta peniaga bazar Ramadan di negara ini agar tidak menjual makanan dan kuih muih basi kepada orang ramai yang berkunjung ke gerai mereka sepanjang Ramadan ini.

Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata KPDNKK memandang serius isu berkenaan kerana ia melibatkan kesihatan pengguna.

Katanya, peniaga diminta untuk tidak memikir keuntungan semata-mata malah perlu bersikap membantu pengguna dan memperoleh pahala.

"Saya menasihati peniaga bazar di seluruh negara supaya jual makanan yang baik mutunya, kerana saya dapat maklumat yang mengatakan mereka menjual makanan yang sudah basi, ini tak elok terutamanya ketika puasa kebanyakan pelanggan adalah orang Islam.

"Sama-samalah kita menjaga dalam waktu kita berniaga dan berpuasa ini biarlah kita bersikap lebih berhemah iaitu bantu membantu supaya tak timbul perasaan marah dalam kalangan pengguna apabila membeli juadah berkenaan," katanya.

Hamzah berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Agihan Wang Zakat Bank Rakyat kepada 500 penerima terdiri daripada golongan miskin dan ibu tunggal di Bangunan UMNO Batu Kurau di sini, Isnin.

Penerima  masing-masing menerima RM200, dua kampit beras dan kurma.

Beliau mengulas berhubung isu makanan basi yang dijual di bazar Ramadan  di Kuala Berang, Terengganu, baru-baru ini selepas diviralkan di laman sosial Facebook berikutan ada pengguna yang kecewa dengan sikap peniaga menjual juadah basi.

Tambah beliau, walaupun isu berkenaan di bawah bidang kuasa Jabatan Kesihatan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), namun KPDNKK akan tetap memantau kerana ia membabitkan pengguna.

"Saya minta peniaga dan penyedia makanan supaya memastikan makanan yang dijual di bazar Ramadan tidak tercemar untuk mengelak berlakunya kes keracunan makanan," katanya.

Dalam pada itu, Hamzah berkata KPDNKK akan mengadakan program Jom Beli Barang Raya di tempat letak kereta Istana Kehakiman Putrajaya pada Rabu hingga Ahad ini, mulai 10 pagi hingga 11 malam.

Hamzah berkata pihaknya menyasarkan seramai 150,000 pengunjung selain sebanyak 45 pempamer akan menjual barangan perayaan seperti pakaian, peralatan elektrik, perabot dan sebagainya.

"Orang ramai yang membeli belah di situ akan diberikan diskaun antara 20 hingga 30 peratus lebih murah berbanding harga di pasar raya," katanya.

"Ini merupakan program kedua selepas program pertama diadakan pada tahun lalu yang dikunjungi 100,000 orang untuk membeli barangan keperluan sebagai persiapan menyambut Aidilfitri," katanya.

Tags / Kata Kunci: Bazar Ramadan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan