'Food Delivery' Trend Baharu Beli Juadah Iftar

Diterbitkan: Isnin, 20 Jun 2016 8:00 AM

(Ubah saiz teks)

CEPAT, mudah dan sedap. Itu adalah antara tiga faktor utama warga kota lebih selesa memilih untuk menempah juadah berbuka puasa dan sahur melalui perkhidmatan penghantaran makanan terus ke rumah atau pejabat.

Jika sebelum ini bazar Ramadan menjadi kegilaan orang ramai untuk membeli menu berbuka puasa khususnya bagi yang sibuk bekerja, kini servis penghantaran makanan jenis lauk-pauk mula menjadi trend yang semakin mendapat tempat.

Hanya dengan tempahan menerusi aplikasi Whatsapp dan pembayaran secara dalam talian, pelbagai menu masakan kampung sedia dihantar ke destinasi pilihan anda dalam tempoh masa tertentu.

Nurul Hashima menyiapkan bungkusan makanan sebelum dihantar kepada pelanggan.

Bagi Nurul Hashima Abu Aris, 35, perkhidmatan penghantaran makanan yang diusahakannya sejak 2013 kini semakin mendapat tempat di kalangan warga kota.

Bermula sebagai hobi, kini dia mengusahakan servis penghantaran makanan secara sepenuh masa dan dibantu oleh seorang penghantar makanan atau runner.

"Alhamdulillah servis food delivery semakin berkembang dan pada bulan Ramadan kali ini pesanan yang saya terima meningkat dua kali ganda daripada hari-hari biasa.

"Kebanyakan permintaan yang saya terima adalah di kalangan orang yang bekerja. Faktor masa menjadikan mereka memilih perkhidmatan yang saya sediakan," katanya kepada mStar Online.

Menurut Nurul Hashima yang menggunakan laman sosial Instagram @home_food_delivery sebagai medium pemasarannya, permintaan paling tinggi adalah di kalangan pekerja pejabat di kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur.


Promosi di laman sosial membantu memajukan perniagaan Nurul Hashima.

"Konsep yang saya gunakan ialah seperti anda memesan makanan di kedai makan. Pelanggan boleh memilih lebih daripada 10 menu yang disediakan mengikut selera masing-masing.

"Maknanya walaupun hanya satu tempahan bagi sesuatu menu itu, saya tetap akan memasaknya demi kepuasan pelanggan," katanya yang menjalankan perniagaan dari rumah di Kota Damansara.

Tambah Nurul Hashima, bagaimanapun dia tidak menerima tempahan pada saat-saat akhir dan semua urusan pembayaran hendaklah dibuat menerusi dalam talian sewaktu pesanan dibuat.

"Oleh kerana saya akan masak ikut permintaan pelanggan, jadi tempahan awal perlu dibuat. Untuk bulan puasa ini, ada yang sudah menempah seminggu lebih awal.

"Pemintaan paling tinggi baharu saya terima adalah pesanan sehingga hampir RM500 daripada seorang pelanggan yang menganjurkan majlis berbuka puasa di rumahnya," katanya.

Jelas Nurul Hashima, penghantaran makanan akan dibuat bermula pukul 2.30 petang sehingga sebelum pukul 4.30 petang sebelum pelanggan pulang dari tempat kerja masing-masing.

Antara menu popular yang menjadi bualan pelanggan setianya ialah masak lemak siput sedut, masak lemak ketam, ayam masak merah, gulai daging, sambal udang petai dan banyak lagi.

Fakrul (kiri) dan isterinya (dua dari kiri) memeriksa makanan sebelum dihantar kepada pelanggan.

Sementara itu bagi pasangan suami isteri Wan Mohd Fakhrurazin Wan Ahamad Khalil, 35, dan Nor Zainariah Mohd Sharif,30, perniagaan FZ Cafe Food Delivery yang mula beroperasi pada tahun lalu turut menerima permintaan yang semakin menggalakkan pada Ramadan tahun ini.

Menurut Wan Mohd Fakhrurazin yang lebih mesra dipanggil Fakrul, sempena Ramadan dia dan isterinya menyediakan menu khas masakan berlauk dan pelbagai jenis kuih muih.

"Pelanggan digalakkan untuk membuat tempahan sehari atau dua hari lebih awal. Namun kami tetap menerima pesanan pada saat akhir iaitu selewat-lewatnya pukul 11 pagi setiap hari.

"Alhamdulillah kebanyakan tempahan diterima daripada pelanggan tetap yang sudah biasa dengan masakan FZ Cafe. Namun lebih memberangsangkan apabila kami turut menerima tempahan baharu setiap hari," katanya yang menjalankan operasi di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.


Pelbagai pilihan hidangan menarik boleh dilihat di laman Instagram milik FZ Cafe.

Tambah Fakrul, FZ Cafe menawarkan harga makanan serendah RM5 dan tempahan minimum untuk setiap destinasi penghantaran adalah RM50.

"Kebiasaan pelanggan ialah orang yang bekerja di pejabat. Mereka akan membuat tempahan secara berkumpulan," katanya.

Menurut Fakrul dia mempunyai tiga orang penghantar makanan yang akan memulakan operasi penghantaran pada pukul 3 petang.

"Cabaran yang dihadapi ialah apabila hari hujan kerana runner menggunakan motorsikal. Namun saya akan maklumkan kepada pelanggan jika berlaku kelewatan agar mereka tidak tertunggu-tunggu," katanya.

Sementara itu, lain pula pengalamannya dengan pendatang baharu dalam perniagaan servis penghantaran makanan seperti Nadia Farehah Mohamad.

Wanita berusia 31 tahun itu pertama kali menjalankan perniagaan penghantaran makanan pada Ramadan kali ini.


Nadia Farehah berharap promosi di laman sosial mampu melonjakkan perniagaannya.

Walaupun tempahan yang diterima masih kecil, dia yakin segmen baharu dalam dunia perniagaan makanan seperti ini mampu memberi pulangan yang baik.

Menurut Nadia Farehah, dia sanggup mengimport kakaknya, Norlida Fazidah Mohamad, 44, yang menetap di Terengganu sebagai tukang masak sepanjang Ramadan ini.

"Sebagai permulaan kami menyediakan pilihan makanan yang terhad iaitu set nasi ayam penyet, ayam masak kurma dan ayam masak merah dengan dua pilihan nasi iaitu nasi hujan panas dan nasi minyak.

"Selain servis food delivery, kami juga menyewa tapak di bazar Ramadan Bangi Gateaway," katanya.

Nadia Farehah yang menggunakan nama @nadsukamakan di Instagram menjalan operasi penghantaran makanan di sekitar Puchong dan Serdang.
Tags / Kata Kunci: Food Delivery , Ramadan , Buka Puasa

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan