Analisis PRK: Bila Nombor 2 Jadi Rebutan

Diterbitkan: Isnin, 20 Jun 2016 7:35 AM

Ahli Parlimen Sungai Besar yang baharu Budiman Mohd Zohdi (tengah) mengadakan tinjauan pertama di Pasar Awam Sekinchan selepas menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar Pilihan di Pasar Awam Sekinchan pagi Ahad. - fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

RAMAI yang sudah menjangka kemenangan Barisan Nasional (BN) di Sungai Besar, melihat kepada situasi hura-hara pembangkang dan saingan tiga penjuru termasuk PAS dan Parti Amanah Negara (Amanah) yang menyebabkan berlakunya pecahan undi besar-besaran.

Namun, yang tidak pernah disangka atau diramal mana-mana penganalisis politik adalah kemenangan besar parti kerajaan ini, baik di Sungai Besar, mahu pun di Kuala Kangsar.

Namun, ada banyak yang boleh dilihat di sebalik PRK Sungai Besar ini, selain angka cantik 9,191 majoriti undi yang diperolehi BN, dan juga calonnya yang selamba, Budiman Mohd Zohdi yang turun padang berjumpa 3,000 pengundi setiap hari sepanjang tempoh berkempen.

Yang jelas dalam pertandingan kali ini, baik di Sungai Besar mahu pun Kuala Kangsar, tempat pertama atau pingat emas langsung tidak diintai oleh PAS atau Amanah, sebaliknya mereka lebih ghairah untuk membawa pulang pingat perak.

PRK kali ini telah menyaksikan bagaimana dua blok pembangkang yang berdepan konflik status dan pertembungan dua ego ini sedar akan hakikat bahawa BN akan menang, justeru masing-masing turun padang untuk beradu kekuatan sesama sendiri.

Kesudahannya, apabila keputusan diumumkan, Amanah dilihat sebagai parti yang lebih kuat daripada PAS di Sungai Besar kerana parti yang pertama kali bertanding itu berjaya merangkul pingat perak yang diidamkan dengan jumlah undi sebanyak 7,609.

Calon PAS Dr Abdul Rani Osman terpaksa akur dan kembali ke Klang menjalankan tugas asalnya sebagai Adun Meru dengan 6,902 undi.

Tetapi di Kuala Kangsar Amanah tewas di belakang PAS. Ini bermakna keputusan antara dua blok pembangkang ini seri 1-1, Amanah mendapat sebutir pingat perak, begitu juga dengan PAS.

Hakikat dan Pengajaran


BN menang besar, Amanah di tempat kedua dan PAS di tangga ketiga sebenarnya memberi banyak pengajaran buat tiga parti ini.

BN, walaupun berdepan kontroversi di peringkat pentadbiran, mereka bijak ‘menutupnya’ dan turun bertanding dengan penuh strategi, baik dari segi calon, gerak kerja jentera dan isu-isu yang dimainkan.

Kecelaruan yang berlaku dalam dua blok pembangkang memberi kelebihan buat mereka, kalau tidak banyak, sedikit pasti ada.

Tetapi, sebagai parti yang mempunyai kelebihan dari segi pengalaman dan jentera yang maha besar, mereka tidak terbuai dengan kelemahan pembangkang.

Apa yang pasti, strategi BN  kali ini untuk berpolitik secara matang tanpa menyerang dan memberi lebih perhatian kepada pengundi Cina dilihat menjadi!

 
Budiman diusung selepas memenangi PRK Sungai Besar.

Apatah lagi ketika kempen memasuki fasa akhir, dua nelayan Sekinchan yang ditahan pihak berkuasa Indonesia berjaya dibawa pulang. Ini merupakan satu bonus buat BN yang menjadi faktor penyumbang mereka menang besar.

Bagi Amanah yang usianya tak sampai setahun, mereka mungkin boleh mendabik dada apabila mampu mengatasi PAS yang sudah berusia 60 tahun, tetapi di mata rakyat, tempat kedua tak memberi sebarang makna.

Tidak keterlaluan dikatakan, Amanah mendapat kemenangan itu atas bantuan pengundi Cina, jentera DAP, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Pakatan Harapan yang disokong oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Tetapi, apa yang dilakukan Amanah bersama Pakatan Harapan bukanlah apa yang diharapkan oleh rakyat yang mahukan perubahan dalam pentadbiran negara pada PRU akan datang.

Rakyat mahukan sebuah gabungan parti pembangkang yang kukuh dan meyakinkan, bukan yang bertelagah dengan blok pembangkang lain, tidak sepakat dan hanya memikirkan kepentingan serta agenda masing-masing sehingga mengenepikan kehendak rakyat.

Apa yang berlaku kini hanya membuatkan rakyat keliru dan celaru untuk memangkah undi.

Pendek kata, Amanah bersama Pakatan Harapan boleh melupakan sahaja angan-angan untuk menduduki Putrajaya jika keadaan ini berlarutan. 

Bagaimanapun, dari sudut pandang positif, kehadiran Amanah sedikit-sebanyak telah mewarnai politik Malaysia kerana parti dengan bendera oren ini dilihat berpotensi untuk memberi cabaran dan semakin diminati.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali bertemu Dr Rani dan calon Amanah, Azhar Abdul Shukur.

Sebagai parti yang sudah ‘terlanjur’ terjun secara rasmi dalam arena politik negara, apa yang perlu dilakukan oleh Amanah yang kini sedang diasak, diserang dan dilanyak dari pelbagai sudut  hanyalah meneruskan perjuangan untuk memastikan kelangsungan hayatnya.

Untuk PAS yang katanya senang berseorangan tetapi jelas dilihat masih di teraba-raba mengenai statusnya pada masa ini, keputusan PRK kali ini hanya dapat membuktikan ‘kekuatan bersih’ mereka semata-mata.

Kekuatan mereka benar-benar teruji apabila terpaksa berkempen menggunakan jentera sendiri dan dengan bantuan parti yang amat kecil, Ikatan.

Mungkin sudah tiba masanya untuk PAS berfikir bahawa kenyataan Presiden Amanah Mohamad Sabu sedikit-sebanyak ada kebenarannya. Mohamad Sabu tanpa berlapik telah melabelkan PAS sebagai parti tak boleh menang kerana kini memilih haluan sendiri untuk bergerak sendirian.

PAS juga perlu berfkir dalam-dalam tentang peranan sebenar mereka dalam politik negara. Jika PAS benar-benar sebuah parti politik yang membangkang kerajaan sedia ada, maka PAS juga perlu mengenepikan ego, bersikap realistik dan bangkit melakukan sesuatu.

Melainkan jika PAS sudah tidak berminat untuk menjadi pembangkang, itu lain ceritanya!

Seperti mana BN yang menolak politik kebencian dan menggunakan pendekatan politik matang dalam PRK kali ini, PAS juga mungkin akan terus menggunakan pendekatan sama dengan BN.

Cuma terkadang ungkapan ‘politik matang’ itu sendiri mengajak kita berfikir apakah benar istilah itu selari dengan maksudnya kerana ramai yang maklum bahawa politik itu tetap politik. Politik itu ada sahaja mainannya!
Tags / Kata Kunci: PRK Sungai Besar , Amanah , PAS , BN

iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan