BN Menang Kerana Mampu Juarai Isu Rakyat

Diterbitkan: Ahad, 19 Jun 2016 8:19 AM

CERIA... Mastura ceria meraikan kejayaan bersama empat anaknya, dari kiri: Wan Muhammad Amar, Wan Emir Astar, Wan Imar Izzat, dan Wan Iskandar selepas keputusan rasmi beliau menang dengan majoriti 6,969 menewaskan calon Parti Amanah, PAS dan calon Bebas. -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Kuala Kangsar, Perak dan Sungai Besar, Selangor malam Sabtu banyak disumbangkan oleh faktor kemampuan BN dalam menjuarai isu-isu tempatan.

Ini berbeza dengan parti pembangkang PAS dan Parti Amanah Negara (Amanah) yang hanya memainkan isu nasional, sedangkan penduduk kedua-dua kawasan berkenaan mahu melihat sumbangan yang boleh diberikan parti-parti bertanding bagi manfaat mereka.

Dalam kempennya pada kedua-dua PRK itu, BN jelas mempunyai agenda khusus terutama dalam soal pembangunan dan kepentingan rakyat, yang menjadi faktor penting kepada kemenangan calon-calonnya yang turut memperoleh majoriti yang jauh lebih besar berbanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 pada 2013.

Penganalisis politik Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata parti pembangkang membuat kesilapan apabila terlalu memainkan isu nasional bagi menarik perhatian rakyat.

Beliau berkata ini berbeza dengan BN, yang sejak dahulu memperjuang isu tempatan terutamanya yang berkait rapat dengan pembangunan dan kebajikan rakyat.

"Rakyat mahu melihat usaha-usaha untuk berkhidmat kepada mereka. Ini berjaya diketengahkan dengan baik oleh jentera BN dalam kempen pilihan raya kitu," katanya.

Datin Mastura Mohd Yazid memperoleh 12,653 undi dengan majoriti 6,969 undi untuk menewaskan calon PAS Dr Najihatussalehah Ahmad (5,684 undi) dan calon Amanah Prof Dr Ahmad Termizi Ramli (4,883 undi) serta calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary yang hanya mendapat 54 undi dan hilang wang pertaruhan.

Pada PRU13, penyandang kerusi itu Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang juga suami Mastura menewaskan calon PAS Khalil Idham Lim Abdullah dengan majoriti 1,082 undi.

Bagi PRK Sungai Besar, calon BN Budiman Mohd Zohdi yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang mendapat 16,800 undi dengan majoriti 9,191 undi untuk mengetepikan calon Amanah Azhar Abdul Shukur (7,609 undi) dan calon PAS Dr Abdul Rani Osman (6,902 undi).

Pada PRU13, penyandang kerusi itu Allahyarham Tan Sri Noriah Kasnon mengalahkan calon PAS Mohamed Salleh M Husin dengan hanya 399 undi.

Kedua-dua PRK itu diadakan berikutan kematian Wan Mohammad Khair-il Anuar dan Noriah dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

Mohd Azizuddin berkata dalam kedua-dua PRK itu, isu tempatan jelas memainkan  peranan penting malah, kehadiran bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membantu kempen calon Amanah, juga tiada kesannya.

"Isu Dr Mahathir satu sahaja, beliau cakap beliau tida suka Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak... (sebenarnya) rakyat nak tahu apa yang mereka boleh dapat," katanya.

Selain itu, apabila Amanah yang mewakili Pakatan Harapan dan PAS bertanding sesama sendiri, ia juga memberikan gambaran bahawa adanya masalah di kalangan parti pembangkang.

"Rakyat meluat dengan keadaan ini, mereka tidak nampak adanya parti alternatif kepada BN. (Sebaliknya) mereka melihat BN yang lebih stabil...rakyat mahukan kestabilan.

"Mereka boleh nampak BN dapat bawa pembangunan dan bukannya pembangkang," katanya sambil memberitahu jika dicampur undi PAS dan Amanah, ia masih tidak boleh mengatasi undi BN di kedua-dua kawasan PRK itu.

Mohd Azizuddin berkata jentera PRK BN juga bergerak baik dengan melibatkan kerjasama Umno dan parti-parti komponen BN yang lain.

"Selepas nama kedua-dua calon BN diumumkan, kedengaran desas-desus akan berlaku sabotaj kerana tidak puas hati dengan pemilihan calon tetapi jentera BN tetap bergerak lancar dan tiada sabotaj yang berlaku," katanya.

Selain itu, katanya faktor calon turut menyumbang kepada kemenangan BN dengan Budiman bergantung kepada rekod kejayaannya sebagai ADUN Sungai Panjang, satu daripada DUN dalam Parlimen Sungai Besar, manakala Mastura pula banyak membantu arwah suaminya.


"Mastura tidak berkempen (kerana masih dalam edah) tetapi beliau sudah lama bersama-sama suaminya berbakti kepada penduduk di Kuala Kangsar. Akar umbi semua kenal beliau," katanya.

Bagaimanapun, Mohd Azizuddin berkata kekuatan calon sahaja tidak mencukupi tanpa jentera yang kuat dan prestasi baik kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri.

Selain itu, katanya terdapat elemen protes terhadap kerajaan Selangor menyebabkan majoriti BN meningkat di Sungai Besar.

"Kemenangan dengan majoriti 9,191 undi adalah satu kejutan besar. Rakyat juga keliru apabila Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyokong Amanah sedangkan PAS ada dalam pentadbiran kerajaan negeri pimpinan beliau," katanya.

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata para pengundi Sungai Besar dan Kuala Kangsar telah menghantar mesej kepada pembangkang dan kumpulan anti-Najib bahawa mereka masih mahukan Najib sebagai Perdana Menteri.

"Pembangkang dan kumpulan yang menentang Najib telah menjadikan pilihan raya kecil itu sebagai referendum dengan meminta pengundi menyatakan sama ada mereka masih mahukan Najib menjadi perdana menteri.

"Mesejnya mudah. Jika sokong Najib, undilah BN dan jika menolaknya, undi Pakatan Harapan.

"Itulah mesej mudah yang pembangkang dan kumpulan anti-Najib hantar kepada pengundi di Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Dan pengundi membalas  mesej pembangkang dan kumpulan anti-Najib dengan mengundi BN. Dan mesej yang lebih jelas ialah kali ini, pengundi memberi BN majoriti yang lebih besar berbanding 2013," kata beliau.

Salleh juga berkata BN terlibat dalam pertandingan tiga dan empat penjuru, namun pecahan undi tidak menjejaskan prestasi BN apabila ia menang dengan jumlah undi yang lebih besar berbanding masa lepas, menjadikannya kemenangan berganda buat kawasan Sungai Besar dan Kuala Kangsar. - BERNAMA


Tags / Kata Kunci: PRK Sungai Besar , PRK Kuala Kangsar , BN

iklan

Video

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Kolumnis

iklan

Iklan