"Tertarik, Tapi Protes Jalanan Bukan Cara Saya" - Tun M

Diterbitkan: Jumaat, 17 Jun 2016 4:18 PM

Dr Mahathir ditemani isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali bersama pemimpin Pakatan Harapan lain berkempen untuk calon Amanah PRK Sungai Besar, Jumaat.

(Ubah saiz teks)

SUNGAI BESAR: Walaupun bukan caranya, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui tertarik untuk menyertai demonstrasi jalanan bagi menentang kepimpinan negara.

"Saya tertarik tetapi ia bukan cara saya. Tentu anda tahu lagu itu, 'My Way?' Ini bukan cara saya.

"Tetapi saya percaya kepada kekuatan dan suara rakyat," kata Dr Mahathir kepada pemberita semasa membantu kempen calon Amanah di Kampung Parit 8, dekat Sekinchan pada Jumaat.

Turut hadir adalah Penasihat DAP, Lim Kit Siang, bekas Menteri Hal Ehwal Undang-Undang, Datuk Zaid Ibrahim dan Pembahas Asia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Dr Mahathir muncul kali kedua berkempen atas platform pembangkang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar pada 18 Jun ini berkata, rakyat akhirnya terpaksa mengadakan demonstrasi jalanan.

"Itu yang mereka mahu, mendorong kita lakukan demonstrasi jalanan," katanya.

Sementara itu, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu berkata, dia tidak menolak kemungkinan akan menganjurkan demonstrasi jalanan.

"Biar kita tunggu dan lihat perkembangannya. Perhimpunan adalah antara kaedah demokrasi tanpa keganasan," katanya.

Sepanjang tempoh 22 tahun Dr Mahathir sebagai perdana menteri, beliau dikenali sebagai pemimpin yang menghalang protes jalanan terutama ketika era reformasi susulan pemecatan timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan