Ecah Terharu, PM Hadiahkan Set Drum

Diterbitkan: Jumaat, 17 Jun 2016 1:13 PM

Ecah yang gembira dan terharu di sisi set drum yang dihadiahkan perdana menteri selain nota terima kasih khas buat Datuk Seri Najib Tun Razak.

(Ubah saiz teks)

SUNGAI PANJANG: Hasrat Siti Nuraisyah Sahrin untuk memiliki set drum sendiri bukan sahaja menjadi kenyataan, tetapi lebih indah apabila ia dihadiahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Permintaan Siti Nuraisyah, 13, pelajar yang putus kedua-dua kakinya akibat digilis lori Januari lalu mendapat perhatian perdana menteri ketika mereka bertemu dalam satu majlis di Sungai Nibong, malam Jumaat lalu.

Dalam pertemuan itu, Siti Nuraisyah atau lebih senang disapa sebagai Ecah telah memberitahu perdana menteri bahawa dia meminati bidang muzik dan berhasrat untuk belajar bermain alat muzik, khususnya drum.

Ecah yang terharu menerima hadiah daripada perdana menteri itu menyimpan azam untuk mencuba sedaya upaya belajar bermain drum.

“Perdana menteri tanya betul ke saya nak main drum, saya kata ‘saya nak cuba’. Saya mesti buktikan saya boleh,” katanya.

Ecah yang meminati penyanyi Korea, Apink dan aktres tempatan, Janna Nick ini berkata, beliau tertarik dengan alat muzik drum selepas kagum melihat kemahiran peserta program Ceria All Stars, Nur Amira Syahira.

Pegawai kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Khairun Aseh, Abang Mohd Hafizi Abang Bongsu yang ditugaskan menghantar set alat muzik itu berkata, sebaik sahaja mendapat tahu Ecah mahu belajar drum, perdana menteri terus mengarahkan supaya satu set drum dihantar ke rumah Ecah pada Jumaat.

“Ecah kata dia nak cuba belajar main drum dan hari ini, mewakili perdana menteri kita hantar drum ini untuk memberi sokongan dan semangat kepada minatnya itu,” katanya.

Sementara itu, ibunya, Maimunah Md Razalli, 48, berkata beliau tidak menyangka dalam jadualnya yang sibuk, perdana menteri tetap mengotakan janjinya kepada Ecah untuk menghantar satu set drum ke rumahnya pada Jumaat.

“Perdana Menteri memang menepati janjinya. Beliau kata nak hantar hari Jumaat, memang hari inilah drum yang dihadiahkan olehnya sampai ke rumah kami.

“Walau pun bukan beliau sendiri yang datang, saya amat berterima kasih kepadanya kerana telah merealisasikan permintaan Ecah,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini, Jumaat.

Maimunah berkata, Ecah telah lama menunjukkan minat dalam bidang muzik tetapi beliau atau suaminya, Roslan Sardi, tidak dapat memenuhi permintaan anaknya itu dengan membeli sebarang alat muzik.

“Ecah memang minat muzik. Bila Datuk Seri Najib tanya permintaannya, saya ingatkan dia akan kata piano, tetapi sebaliknya dia sebut drum.

“Saya dan suami tak pernah sekat minat anak-anak. Kalau Ecah minat nak belajar main drum, kami tak ada halangan,” katanya.

Katanya, pemberian perdana menteri itu tidak akan disia-siakan, justeru beliau bercadang menghantar Ecah ke kelas belajar bermain drum atau mengupah guru muzik untuk mengajar anaknya.

Malah, suaminya juga ada menyuarakan cadangan untuk membina sebuah bilik khas untuk Ecah bermain alat muzik tanpa mengganggu ahli keluarga lain atau jiran terdekat.

Tags / Kata Kunci: Ecah , drum , perdana menteri , Janna Nick

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan