Besan Ahmad Zahid Turut Main Peranan Pembebasan Nelayan Sekinchan

Diterbitkan: Jumaat, 17 Jun 2016 11:26 PM

Chairul Anhar.

(Ubah saiz teks)

SUNGAI BESAR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata besannya Datuk Seri Chairul Anhar turut memainkan peranan penting dalam usaha membebaskan dua nelayan Sekinchan yang ditahan di Indonesia, Khamis.

Katanya beliau telah meminta besannya itu untuk bertemu dengan presiden, naib presiden, menteri yang berkaitan dan ketua hakim Indonesia bagi memastikan pembebasan Chua Lee Teck dan Heng Chee Yong.

"Saya ingin beritahu bahawa Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak),Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim, Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Jamal Yunus dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor Tan Sri Noh Omar adalah empat orang yang utama yang melaksanakan tugas untuk membebaskan Chua dan Heng.

"Tetapi ada seorang lagi yang hari ini saya terpaksa sebut, jadi saya dengan besar hati menyatakan bahawa besan saya Bapak Chairul Anhar telah membantu kita juga," katanya semasa berucap pada majlis penyerahan surat kelulusan pengambilan pekerja asing bagi nelayan bot kelas B di Sekinchan, Jumaat.

Chairul seorang ahli perniagaan dari Indonesia merupakan Presiden Indonesian Diaspora Network Chapter Malaysia. Anak perempuannya berkahwin dengan anak lelaki Ahmad Zahid pada September tahun lalu.

Pada Khamis, Chua, 45 dan Heng, 29 yang ditahan pihak berkuasa Indonesia kerana dipercayai menceroboh perairan negara itu, selamat pulang ke pangkuan keluarga di sini.

Kedua-dua mereka yang berasal dari Bagan Sekinchan di sini di tahan diTanjung Pinang, Indonesia pada 4 Mac lalu sebelum dibebaskan selepas Presiden Indonesia Joko Widodo  menandatangani surat pengampunan mereka.

Ahmad Zahid berkata, pembebasan dua nelayan tersebut merupakan janjinya kepada pengundi di Sekinchan yang telah ditepatinya.

Selain itu, katanya kerajaan juga telah bersetuju memberikan surat kelulusan pengambilan pekerja asing bagi bot nelayan kelas B di sini yang juga salah satu komitmen untuk membantu nelayan di sini.

"Jadi esok 18 Jun (hari pengundian pilihan raya kecil Parlimen Sungai Besar) tutup telinga, buka mata, jangan dengar apa lagi pilihlah parti BN," katanya.

Pada majlis itu, sebanyak  28 orang nelayan menerima surat kelulusan pengambilan pekerja asing tersebut bagi membantu tugas-tugas di atas bot mereka.

Pada majlis sama, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri turut menyampaikan surat pengesahan kewarganegaraan kepada empat individu.-Bernama

Tags / Kata Kunci: Ahmad Zahid Hamidi , Chairul Anhar

iklan

Video

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Kolumnis

iklan

Iklan