Daging Lembu Argentina Mungkin Kembali Ke Pasaran Malaysia - Duta

Diterbitkan: Khamis, 16 Jun 2016 5:13 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Daging lembu Argentina, dianggap antara yang terbaik di dunia, mungkin kembali memasuki pasaran Malaysia awal tahun depan setelah lima tahun terhenti, kata Duta Besar negara itu di Malaysia Manuel Balaguer Salas.

"Kami sedang bekerjasama dengan Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) dan Perbadanan Kemajuan Industri Halal (HDC) untuk mencari jalan membawa kembali daging lembu dan ayam itik ke Malaysia," katanya dalam wawancara dengan Bernama di ibu pejabat Pertubuhan Berita Nasional Malaysia itu di sini pada Selasa.

Beliau berkata pihak Argentina mengadakan kerjasama rapat dengan pihak berkuasa Halal Malaysia bagi memastikan produk ayam itik dari Pampas, kawasan tanah pamah yang luas terbentang di negara itu, dapat memenuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan.

"Malaysia meminta diadakan rumah sembelihan yang menghasilkan 100 peratus daging halal dan kami menghormati permintaan itu," katanya.

Menurut beliau, Malaysia berhenti mengimport daging lembu Argentina selepas 2010 berikutan peraturan baharu yang dikenakan berkaitan virus aftosa atau penyakit kaki dan mulut, dan pemberhentian itu berterusan susulan perubahan dari segi peraturan Halal.

Salas, yang mula berkhidmat di sini tiga bulan lepas, berkata perkara itu adalah antara isu yang menjadi keutamaan beliau, selain melancarkan era baharu hubungan Argentina-Malaysia bersempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan dua hala antara kedua-dua negara tahun depan.

Diplomat kelahiran Buenos Aires itu berkata hubungan Malaysia dan Argentina begitu erat pada 1990-an sebelum membeku sejak 12 tahun lepas apabila kerajaan Argentina mengamalkan "ekonomi lebih tertutup dan dilindungi".

Katanya pembaharuan giat dilaksanakan sejak Presiden Mauricio Macri mengambil alih teraju pentadbiran negara itu Disember lepas, manakala pelan infrastruktur kebangsaan dan pelan tenaga boleh diperbaharui yang bakal diluluskan, dijangka menarik banyak pelaburan, dan harapan beliau, juga dari Malaysia.

"Saya juga berharap Malaysia boleh menjadi hab untuk Argentina di Asia Tenggara dan Argentina pula menjadi penghubung untuk Malaysia di Amerika Latin/Selatan antara Mercosur dan blok Perikatan Pasifik," katanya.

Argentina adalah sebahagian daripada Mercosur, yang turut dianggotai Brazil, Paraquay dan Uruguay. Mercosur adalah blok subrantau yang ditubuhkan bagi tujuan menggalakkan perdagangan bebas dan pergerakan lancar barangan, manusia dan mata wang.

Baru-baru ini, Argentina diterima menjadi anggota pemerhati blok perdagangan Perikatan Pasifik yang terdiri daripada Chile, Colombia, Mexico dan Peru sebagai anggota penuhnya.

Bekas Ketua Turus Setiausaha Rendah Dasar Luar di Kementerian Luar Argentina itu juga berharap Malaysia Airlines akan mengadakan semula penerbangannya ke Buenos Aires. Syarikat penerbangan kebangsaan Malaysia itu menghentikan perkhidmatannya bagi laluan tersebut pada 2012.

Mengenai usaha untuk meningkatkan hubungan di semua peringkat, termasuk antara rakyat dengan rakyat, Salas berkata kedutaan Argentina akan menganjurkan 'Minggu Argentina' tahun depan bersempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan dua hala negara itu dengan Malaysia.

Argentina, yang akan menyambut Hari Kemerdekaan ke-200 pada 9 Julai ini, menjalin hubungan diplomatik dengan Malaysia pada 1967. Pada 1983, negara itu membuka kedutaannya di Kuala Lumpur, manakala Malaysia pula membuka kedutaannya di Buenos Aires pada 1989.-- Bernama



Tags / Kata Kunci: Argentina , daging lembu , Jakim , HDC

iklan

Video

Isnin, 18 Disember 2017 2:45 PM

Kecoh Naim Daniel 'Berduet' Dengan Hantu

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Kolumnis

iklan

Iklan