Kes HFMD Meningkat Di Negeri Sembilan

Diterbitkan: Selasa, 14 Jun 2016 12:50 PM

Gambar hiasan.

(Ubah saiz teks)

SEREMBAN: Penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dalam kalangan kanak-kanak di negeri ini menunjukkan peningkatan melebihi aras amaran sejak awal April lepas.

Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan Dr Abdul Rahim Abdullah berkata peningkatan kes adalah ketara pada bulan Mei dengan jumlah kes pada minggu kedua bulan berkenaan merekodkan sebanyak 28 kes diikuti minggu ketiga 41 kes dan minggu keempat sebanyak 87 kes.

"Sejak penghujung Mac jumlah kes mingguan HFMD telah menunjukkan peningkatan melebihi aras amaran iaitu 20 kes seminggu," katanya dalam kenyataan di sini Selasa.

Abdul Rahim berkata sebahagian besar kes HFMD hanya melibatkan simptom ringan dan memerlukan rawatan pesakit luar bagaimanapun terdapat kes yang perlu dimasukkan ke hospital untuk rawatan.

"Komplikasi yang boleh berlaku akibat jangkitan penyakit ini ialah Meningoencephalitis (radang pada otak dan selaputnya) dan Myocarditis (keradangan pada jantung). Komplikasi ini boleh menyebabkan kematian," katanya.

Beliau berkata tindakan pencegahan dan kawalan bagi menangani peningkatan kes HFMD telah dijalankan di negeri ini dan surat arahan berjaga-jaga telah dikeluarkan ke semua pejabat kesihatan daerah, hospital dan klinik pada 11 Mei lepas.

Katanya ibu bapa atau penjaga adalah penting bagi menghalang penularan penyakit ini dan mereka dinasihatkan membawa anak-anak yang mempunyai tanda penyakit HFMD ini untuk rawatan segera di klinik atau hospital berhampiran.

"Kanak-kanak yang mengalami simptom HFMD yang ringan perlu berehat secukupnya di rumah dan elakkan daripada membawa mereka ke tempat awam termasuk sekolah, tadika, taska atau rumah pengasuh yang mempunyai kanak-kanak lain.

"Kanak-kanak yang mengalami simptom HFMD tidak dibenarkan hadir ke taska atau tadika sehinggalah sembuh. Pengendali pusat jagaan kanak-kanak termasuk taska dan tadika juga diminta mmastikan tahap kebersihan premis mereka adalah baik. Semua peralatan dan permainan perlu dibersihkan secara berkala," katanya.

HFMD ialah penyakit yang disebabkan oleh enterovirus dengan majoritinya adalah disebabkan oleh "coxsackie A16" dan "enteriviruses 71" yang merebak melalui sentuhan dengan bendalir hidung, mulut atau najis mereka yang telah dijangkiti.

Tanda-tanda penyakit ini ialah demam, ruam, dan ulser pada mulut, kaki atau tangan ia sering berlaku dalam kalangan kanak-kanak di bawah 10 tahun. - BERNAMA


Tags / Kata Kunci: kes HFMD , Negeri Sembilan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan