PRK: Kehadiran Tun M Tidak Jejaskan PAS

Diterbitkan: Isnin, 13 Jun 2016 2:46 PM

(Ubah saiz teks)

SUNGAI BESAR: Kehadiran bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk berkempen di Sungai Besar dan Kuala Kangsar tidak akan menjejaskan PAS.

Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Samad (gambar) berkata, referendum yang dibawakan Dr Mahathir ketika berkempen di Sungai Besar dan Kuala Kangsar untuk menolak kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bukanlah perkara baharu, malah ia sudah diketahui umum.

"Kita ada maklum balas daripada pengundi-pengundi Umno. Maklum balas yang kami terima adalah pengundi Umno menolak Tun M, jadi saya rasakan ini tak akan memberi kesan kepada kempen PAS.

"Masa Tun M jadi perdana menteri pun kita lawan dia, jadi sekarang ini dia bukan perdana menteri pun kita lawan lagilah," katanya kepada pemberita di Markas PAS di sini, Isnin.

Iskandar yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor berkata, tidak hanya Dr Mahathir, semua pihak menganggap Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar penting sebagai referendum terhadap kepimpinan Najib.

Malah, beliau berkata, pemimpin dan ahli Umno juga menyedari tentang perkara ini.

"Ini bukan sesuatu yang baharu yang dibawa oleh Tun M sahaja , tapi dibawa oleh semua orang dan difahami, pihak Umno pun faham, sebab itu mereka bekerja keras," katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai pendirian sebenar PAS terhadap Najib dan BN, Iskandar berkata, parti itu akan menolak pentadbiran BN dan Umno secara menyeluruh.

Katanya, ini selaras dengan kenyataan presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Ahad, yang menyatakan bahawa PAS tidak menentang Najib semata-mata.

"Seperti mana yang dibawa oleh Tun M, mereka nak tolak Najib, tapi digantikan dengan perdana menteri Umno yang lain. Dua-dua ini ada masalah, masalahnya bukan Najib saja, tapi masalahnya juga Umno dan BN.

"Kita nak pertukaran yang menyeluruh, bukan nak tukar Najib tapi ganti dengan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula, bukan itu yang kita nak," katanya.

Tags / Kata Kunci: Sungai Besar

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan